SEPANG- Malaysia kekal komited untuk terus menyokong dan melaksanakan Misi Pelayaran Global Sumud Flotila (GSF) 2.0 meskipun berdepan insiden penculikan aktivis termasuk 10 rakyat Malaysia oleh Israel baru-baru ini.
Menteri Besar Selangor yang juga Menteri Penaung Misi Global Sumud Flotila, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sokongan terhadap misi kemanusiaan itu bukan sahaja tidak terjejas, malah diperkukuh sebagai tanda menghargai pengorbanan aktivis yang sanggup berdepan risiko demi membantu rakyat Gaza.
Beliau berkata, Malaysia akan menyalurkan pelbagai bentuk bantuan termasuk sokongan diplomatik dan kewangan bagi memastikan misi tersebut dapat diteruskan seperti dirancang.
“Sokongan kita akan bertambah kuat kerana kita hargai pengorbanan aktivis termasuk dari Malaysia yang sanggup mengorbankan masa, wang dan keselesaan mereka,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, penyertaan Malaysia dalam misi itu adalah satu kebanggaan selain memberi isyarat jelas pendirian negara dalam usaha memecahkan kepungan Israel terhadap Gaza.
Dalam perkembangan sama, Amirudin berkata, misi bantuan kemanusiaan ke Gaza membabitkan 30 kontena seberat 374 tan melalui jalan darat khususya di sempadan Rafah sedang diatur.
Katanya, penghantaran kali ini sedang melalui beberapa proses dan protokol yang perlu dipatuhi di negara-negara terlibat.
“Prosedur itu perlu bagi memastikan kelancaran pergerakan merentasi sempadan.
“Kita akan maklumkan perkembangan dari semasa ke semasa, termasuk taklimat di Rafah apabila semuanya telah dilaksanakan,” katanya.
Katanya, penghantaran itu adalah sebahagian daripada kesinambungan usaha terdahulu yang menyaksikan 100 kontena bantuan berjaya disalurkan ke Gaza.
Amirudin berkata, sebelum ini, sebanyak 40,000 tin makanan juga telah dihantar sebelum Ramadan dan Aidilfitri lalu dan ia telah disahkan selamat tiba di Gaza berdasarkan rekod dan bukti yang diterima.
“Pengalaman kita sebelum ini, semua bantuan sampai. Kita ada bukti dan rekod yang menunjukkan penghantaran berjaya dilaksanakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














