MANCHESTER – Pengurus Liverpool, Arne Slot menyuarakan rasa kecewa dengan mutu pengadilan ketika pasukan itu tewas 2-3 kepada Manchester United pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford malam kelmarin.
Beliau menyifatkan gol kedua United yang dijaringkan Benjamin Sesko sepatutnya dibatalkan kerana menganggap bola sudah terkena tangan pemain Slovenia itu sebelum menerjah gawang The Reds.
Slot berkata, sebarang keputusan melibatkan Video Bantuan Pengadil (VAR) sering tidak menyebelahi pasukannya sepanjang saingan musim ini dan ia menjadi punca Liverpool gagal mendapat tiga mata.
“Saya boleh katakan memang ada sentuhan daripada Sesko. Dalam sukan bola sepak, apabila ada sentuhan bola akan berubah arah, jadi ia sepatutnya dinilai dengan baik dan gol itu perlu dibatalkan.
“Mungkin bukan satu kejutan apabila VAR sering tidak memihak kepada kami sepanjang saingan musim ini. Situasi seperti ini kerap berlaku kepada kami, termasuk ketika bertemu PSG (Paris Saint-Germain),” katanya.
Dalam pada itu, beliau tidak menyalahkan VAR semata-mata atas gol kedua tersebut kerana menganggap ia berpunca daripada kesilapan sendiri sehingga membolehkan United mengambil kesempatan dan melakukan jaringan.
“Gol kedua itu bukan disebabkan bola terkena tangan Sesko sahaja kerana ia juga berpunca daripada kesilapan sendiri. Kami perlu tanya diri sendiri juga mengapa sering melepaskan gol seperti ini,” ujar Slot. – AGENSI














