fbpx
ONN HAFIZ ketika berucap pada Mesyuarat Pertama Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor ke-15 di Kota Iskandar, Iskandar Puteri hari ini. Foto IHSAN PEJABAT MENTERI BESAR

600,000 Bangsa Johor terima manfaat BKJ berjumlah RM138 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Negeri Johor terus memperkukuh komitmen terhadap kesejahteraan rakyat apabila memperuntukkan sebanyak RM138 juta bagi pelaksanaan Bantuan Kasih Johor (BKJ) Fasa 4 yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 600,000 Bangsa Johor di seluruh negeri.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pelaksanaan BKJ Fasa 4 dirangka berdasarkan maklum balas menyeluruh yang diterima daripada rakyat sepanjang pelaksanaan fasa terdahulu.

“Setiap kali turun padang, kerajaan negeri menerima pelbagai cadangan supaya lebih ramai rakyat dapat menikmati bantuan yang disediakan. Sehubungan itu, BKJ Fasa 4 ditambah baik agar manfaatnya dapat dirasai secara lebih meluas dan menyeluruh oleh Bangsa Johor,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Pertama Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor ke-15 di Kota Iskandar di sini hari ini.

Onn Hafiz berkata, sebanyak 22 inisiatif diperkenalkan di bawah BKJ Fasa 4 merangkumi pelbagai lapisan masyarakat termasuk warga emas, suri rumah, pasangan muda, peniaga kecil serta golongan memerlukan.

Jelasnya, antara inisiatif utama ialah bantuan tunai RM200 kepada lebih 307,000 warga emas dan RM200 kepada 136,000 suri rumah tidak bekerja, selain RM400 kepada 45,000 pasangan yang baru berkahwin.

Tambahnya, selain itu, bantuan RM300 turut disalurkan kepada hampir 30,000 penjaja dan peniaga kecil berdaftar bagi membantu kelangsungan ekonomi mereka.

“Bantuan turut diperluaskan kepada kumpulan sasar lain termasuk murid orang kurang upaya (OKU), anak yatim, ketua isi rumah miskin, pemandu bas dan van sekolah serta penerima bantuan kebajikan.

“Turut menerima manfaat ialah jawatankuasa masjid dan surau, pegawai agama tidak berelaun, petugas barisan hadapan seperti pengawal keselamatan dan pekerja pembersihan hospital, selain pengusaha homestay (inap desa), sukarelawan dan persatuan belia,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan prestasi hasil negeri Johor terus mencatatkan peningkatan apabila mencecah RM1 bilion setakat 30 April 2026, meningkat RM307 juta berbanding tempoh sama tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN