fbpx
Ahmad Zahid (dua dari kiri) bersama Anwar (tengah) diiringi Asyraf Wajdi ketika merasmikan Majlis Sambutan 60 Tahun Mara di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, hari ini. Foto oleh SADDAM YUSOFF/ KOSMO!

Pindaan Akta Mara jadi benteng perkukuh agenda Bumiputera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pindaan Akta Majlis Amanah Rakyat (Mara) 1966 akan berfungsi sebagai benteng pertahanan perundangan bagi memastikan agenda pemerkasaan Bumiputera kekal utuh dan tidak terjejas atau diubah setiap kali berlaku perubahan kepimpinan negara mahupun organisasi terbabit.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu bertujuan meletakkan asas tata kelola dan peraturan yang lebih ketat supaya hala tuju agensi berkenaan kekal konsisten dalam memartabatkan kepentingan Bumiputera tanpa dipengaruhi faktor politik.

​“Kita tidak mahu agenda Mara ditukar kerana bertukar kepimpinan. Kita mahu ia terus menjaga agenda Bumiputera walau siapa pun yang memimpin ketika itu.

“Saya telah memberi tempoh hingga akhir tahun ini agar (draf pindaan) Akta Mara ini dipersiapkan dan dibentangkan di dalam sidang Parlimen,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan 60 Tahun Mara di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pengukuhan akta itu amat kritikal bagi menutup ruang ketirisan serta kebocoran dana, memandangkan Mara kini memikul amanah besar dengan nilai aset keseluruhan mencecah RM23 bilion.

Pada masa sama, Ahmad Zahid turut berkongsikan hasratnya untuk Mara menjadi organisasi mandiri menjelang penubuhannya ke-100 tahun tanpa perlu bergantung kepada peruntukan kerajaan.

Katanya, impiannya adalah untuk meletakkan Mara ke tahap mampu menjana pendapatan hasil pelaburan strategiknya sendiri dan terus membantu golongan Bumiputera

Terdahulu, Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam ucapan berkata, agensi itu kini berada di fasa terakhir bagi meneliti semula Akta Mara yang telah berusia enam dekad.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan meletakkan asas perundangan yang lebih kukuh bagi memperkasakan aspek tata kelola dan tadbir urus institusi berkenaan agar kekal berintegriti dalam jangka masa panjang.

“Aspek paling penting untuk kita pinda dan letakkan asas supaya biarpun pemimpin boleh datang dan pergi tetapi asas penting dari segi tadbir urus, dari segi tata kelola supaya tidak berlaku kecurangan, tidak berlaku pemborosan, tidak berlaku ketirisan ini dapat kita atur dengan sempurna,” katanya.

Beliau berkata, intipati pindaan akta serta pelan transformasi tersebut akan dibentangkan oleh Ahmad Zahid kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN