PONTIAN – Tindakan pantas polis berjaya menyelesaikan kes kehilangan sebuah kereta dalam tempoh hanya satu jam 45 minit selepas kejadian dilaporkan, awal pagi kelmarin.
Kenderaan jenis Toyota Vios berwarna hitam itu dilaporkan hilang kira-kira pukul 1 pagi di tepi Jalan Telok Kerang sebelum ditemui semula pada pukul 2.45 pagi di kawasan Ayer Baloi.
Ketua Polis Daerah Pontian, Supritendan Hadzrat Hussein Mion Hussain berkata, pihanya berjaya mengesan kenderaan tersebut di Jalan Parit Panjang, Parit Mokhyat, Ayer Baloi dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun
“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai lima rekod lampau berkaitan kes narkotik dan ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, siasatan awal mendapati kejadian berlaku akibat kecuaian mangsa yang meninggalkan kenderaannya dalam keadaan enjin masih hidup ketika memasuki sebuah kedai runcit.
“Suspek yang berada di lokasi telah mengambil kesempatan dengan memasuki kenderaan tersebut sebelum melarikan diri ke arah Tol Sedenak, Kulai,” jelasnya.
Katanya, suspek kini direman selama empat hari bermula 2 Mei hingga 5 Mei 2026 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE














