PETALING JAYA – Pasukan Sabah FC kembali berada di landasan kemenangan selepas melakar kemenangan bergaya ke atas PDRM FC dengan keputusan 5-1 dalam saingan Liga Super yang berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu, sebentar tadi.
Pada perlawanan tersebut, Sabah yang kali terakhir melakar kemenangan liga pada Disember lepas berjaya membuka jaringan seawal minit ke-17 menerusi Fergus Tierney.
Gol tersebut menaikkan semangat skuad Sang Badak apabila Kervens Fils Belfort menggandakan jaringan pada minit ke-41 dan Duje Ljubic melengkapkan babak pertama dengan memastikan tuan rumah mendahului 3-0 menerusi gol ketiga pada masa kecederaan.
Bersambung pada babak kedua, skuad The Cops berusaha untuk memberikan tekanan kepada benteng pertahanan Sabah FC dan kerja keras mereka membuahkan hasil apabila meraih gol saguhati menerusi Mohamad Aiman Sufi Radzai pada minit ke-51.
Kegembiraan PDRM FC tidak bertahan lama apabila Sabah FC kembali melebarkan jurang gol enam minit kemudian menerusi Darren Lok sebelum Tierney meraih gol kedua peribadi sebelum wisel penamat ditiupkan.
Kemenangan itu menyaksikan Sabah meraih 20 mata selepas mengharungi 22 perlawanan di kedudukan ke-10 manakala PDRM FC kekal di tangga tercorot dengan hanya meraih 10 mata. – KOSMO! ONLINE














