KUALA LUMPUR – UMNO perlu kekal fleksibel dan bersatu bagi mengembalikan kedudukannya sebagai parti dominan dalam negara.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan, kemenangan tidak datang secara kebetulan, sebaliknya hasil disiplin, strategi dan kesatuan dalam parti.
“Kalau kita berpecah, kita akan kalah sebelum bertanding. Jika kita bersengketa dan berbalahan, belum masuk pilihan raya kita sudah tewas,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan Konvensyen 80 Tahun UMNO di sini hari ini.
Beliau menegaskan, UMNO tidak boleh lagi bergerak dengan cara lama dan perlu melakukan perubahan segera agar kekal relevan serta dekat dengan rakyat.
“UMNO mesti berubah dan perubahan itu mesti bermula sekarang. Kalau kita tidak berubah, rakyat akan tukar kita esok,” ujarnya.
Tambahnya, UMNO bukan sebuah parti yang sudah berakhir, sebaliknya sedang melalui fasa ujian yang menuntut kebangkitan lebih kuat.
“UMNO tidak mati, tidak hilang. UMNO sedang diuji dan setiap kali diuji, parti ini akan bangkit lebih kuat,” katanya. – KOSMO! ONLINE














