fbpx
Ronald Ngah (kanan) meraikan jaringan yang dilakukan ke atas TFC, sebentar tadi. - Foto ihsan MFL

Liga Super: Kuching City pintas kedudukan Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pasukan Kuching City mempamerkan semangat juang tinggi untuk bangkit menewaskan Terengganu FC (TFC) 2-1 sekali gus memintas kedudukan No. 2 Liga Super ketika saingan berbaki dua perlawanan.

Pada aksi di Stadium Negeri, Kuching sebentar tadi, skuad The Cats dilihat berada dalam tekanan memandangkan gagal meraih keputusan positif ketika bertemu Brunei DPMM, pada minggu lalu.

Fokus pasukan tuan rumah dilihat agak terjejas apabila Sang Penyu mudah meraih gol pembukaan hasil tandukan Shervoni Mabatshoev menerusi sepakan penjuru pada minit ke-13.

Tersentak dengan jaringan tersebut, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu memperkemaskan jentera serangan apabila melakukan asakan bertali arus ke kubu pasukan pelawat tetapi beberapa siri percubaan berjaya diselamatkan oleh penjaga gol TFC, Rahadiazli Rahalim.

Namun, tuah akhirnya memihak kepada tuan rumah apabila diberikan sepakan penalti selepas Ramadan Saifullah dijatuhkan dengan kesempatan tidak disiakan oleh Ronald Ngah Wanja untuk gol penyamaan pada minit ke-64.

Penantian The Cats untuk meraih tiga mata penuh menjadi kenyataan apabila pemain import, Jerome Etome menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-80 dengan keputusan 2-1 kekal hingga wisel penamat.

Kemenangan itu menyaksikan Kuching City meraih 47 mata dengan perbezaan satu mata berbanding Selangor FC yang berada di kedudukan ketiga musim ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN