fbpx
Tangkap video memaparkan seekor Harimau Amur dalam keadaan kurus di sebuah zoo di Jepun.

Haiwan kurus di zoo Jepun bukan Harimau Malaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) tampil menjelaskan kekeliruan susulan penularan sebuah video memaparkan seekor harimau yang didakwa Harimau Malaya dalam keadaan kurus dan tidak sihat di sebuah zoo di Jepun.

Perhilitan dalam kenyataan memaklumkan, hasil semakan lanjut mendapati haiwan yang dipaparkan sebenarnya adalah Harimau Amur.

Menurut kenyataan itu, harimau tersebut juga bukan milik Perhilitan atau Kerajaan Malaysia, sekali gus menafikan sebarang kaitan negara dengan isu berkenaan.

“Penularan maklumat yang tidak tepat ini telah menyebabkan kekeliruan awam serta menjejaskan persepsi terhadap usaha pemuliharaan Harimau Malaya,” katanya hari ini.

Terdahulu, tular klip video di media sosial menunjukkan seekor harimau di sebuah zoo di Jepun dalam keadaan kurus sehingga mencetuskan reaksi negatif.

Sehubungan itu, Perhilitan mengingatkan orang ramai agar lebih bertanggungjawab dalam berkongsi maklumat di media sosial dengan memastikan kesahihan fakta sebelum menyebarkannya.

“Penyebaran maklumat tidak disahkan boleh mencetuskan persepsi negatif serta menjejaskan usaha pemuliharaan hidupan liar di peringkat nasional dan antarabangsa,” ujarnya.

Orang ramai turut disaran merujuk kepada sumber rasmi kerajaan atau pihak berautoriti bagi mendapatkan maklumat yang tepat serta mengelakkan spekulasi tidak berasas.

Dalam masa sama, Perhilitan menegaskan komitmennya untuk terus memelihara hidupan liar negara serta bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam dan luar negara bagi memastikan kebajikan spesies terancam, termasuk Harimau Malaya, sentiasa terpelihara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN