fbpx
Noki berasakan dunia lakonan memberi banyak kematangan dalam hidup untuk lebih memahami orang lain.

Berlakon kenalkan Noki apa itu ‘dunia’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERSYUKUR gelanggang seni menemukannya dengan ramai insan, pelakon dan penyanyi menyifatkan pengalaman lebih sedekad yang diraih membawa 1,001 warna dalam hidupnya.

Kongsi Noki atau nama sebenarnya, Ahmad Ikhwan Aji, 32, setiap persembahan atau naskhah baik dalam televisyen mahupun layar perak bukan kerja semata-mata, sebaliknya peluang untuk berhubung dengan dunia lebih luas dan insan lebih baik.

Seperti penglibatan dalam drama bersiri berjudul Aku Pilih Pelangi, dia berasa bertuah dapat bergandingan sebagai abang kepada kanak-kanak istimewa, Adib Hazmata yang melakonkan watak adiknya.

Ujar Noki, bekerja dengan insan berjiwa murni itu turut mengajarnya untuk lebih memahami serta menghargai orang di sekeliling.

“Memang bukan mudah untuk ‘membeli’ jiwa Adib tetapi bagi saya itulah antara cabaran sebagai pelakon selain kena dekati dahulu gandingan kita lebih-lebih lagi kanak-kanak mahupun anak istimewa,” katanya ketika ditemui pada tayangan Aku Pilih Pelangi, baru-baru ini.

Menurut Noki lagi, jiwa Adib yang mudah tersentuh memerlukannya memujuk serta memberikan kefahaman terutama apabila membabitkan adegan sensitif.

“Saya menjadi abang kepada Adib bernama Iskandar. Dalam satu babak drama ini ada menunjukkan Iskandar melakukan sesuatu yang membuatkan Mira Filzah iaitu watak Nayla menitiskan air mata.

“Adib tiada dalam babak itu, tetapi selepas pengarah ‘cut’, dia marah sampai pukul saya sambil tanya kenapa buat Kak Nayla menangis.

“Jadi saya kena terangkan kepada Adib itu cuma lakonan. Apa pun layanan kepada Adib macam adik kandung saya sendiri,” ujarnya.

Selain Adib dan Mira Filzah, Aku Pilih Pelangi turut membariskan Zahiril Adzim yang membawakan peranan sebagai suami kepada Nayla.

Terima mesej

Kongsi Noki lagi, kisah suami yang buta secara tiba-tiba mula berubah kerana mensyaki isterinya kembali menjalin hubungan dengan bekas kekasih sarat dengan pengajaran.

Pada masa sama, dia juga terharu apabila menerima banyak mesej daripada penonton selepas mengikuti drama bersiri menerusi saluran penstriman Viu itu.

“Terima kasih kepada yang menonton dan tinggalkan komen membina. Ini kisah keluarga yang boleh dijadikan pengajaran.

“Biarpun belum berkahwin, naskhah sebegini tetap meninggalkan impak kepada saya kerana ia bukan hanya mengenai hubungan suami isteri, malah impak orang sekeliling apabila berlakunya musibah dalam sesebuah keluarga.

“Pujian juga wajar diberikan kepada Mira serta Zahiril yang memberikan sepenuh jiwa sebagai Nayla dan Firdaus, begitu juga barisan pelakon lain. Saya pun jadi sebak,” katanya.

Walaupun ligat keluar masuk set penggambaran, tambah anggota kumpulan K-Clique itu bidang nyanyian tidak pernah dilupakan kerana itu minat nombor satunya.

 

Noki berasakan dunia lakonan memberi banyak kematangan dalam hidup untuk lebih memahami orang lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN