KOTA BHARU – Seorang wanita yang ditemukan maut dengan beberapa kesan tikaman di badan malam tadi dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum dibuang di Kampung Kubang Getah, Ketereh di sini.
Seorang penduduk, Ahmad Fakhrulnizam Brahim, 46, berkata, mangsa yang berusia dalam lingkungan 20-an itu juga dipercayai bukan penduduk asal kampung tersebut.
Menurt lelaki itu, mangsa ditemukan dalam keadaan mengiring dengan kesan darah pada badan dan muka.
“Saya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan daripada rakan yang melihat seorang wanita seperti sedang tidur di tepi jalan.
“Saya terkejut melihat mayat mangsa yang masih lengkap berpakaian, namun keadaan mukanya berdarah dan tudungnya pula sudah tertanggal dan berada di sisinya,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Ahmad Fakhrulnizam berkata, beberapa penduduk sudah membuat pengecaman dan mengesahkan mangsa bukan penduduk di kawasan ini.
“Saya pun tidak kenal dan tidak pernah melihat wanita tersebut (mangsa). Pada mulanya, saya mengesyaki dia terbabit dalam kemalangan, tetapi tiada kenderaan atau dokumen pengenalan diri bersamanya,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Azmir Damiri mengesahkan menerima laporan dan memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – KOSMO! ONLINE














