AMPANG JAYA – Seramai 15 anggota tentera cedera selepas sebuah trak milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hilang kawalan sebelum merempuh kawasan Plaza Tol Bukit Teratai, Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), petang semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 4.40 petang ketika trak tersebut dalam perjalanan dari arah Kem Sungai Besi menuju ke Kuala Kubu Bharu.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kenderaan berat itu dipercayai mengalami kegagalan brek sebelum hilang kawalan dan melanggar struktur di kawasan plaza tol berkenaan.
“Akibat kemalangan itu, seramai 15 penumpang yang berada di bahagian belakang trak mengalami kecederaan.
“Kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Ampang oleh ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE














