JOHOR BAHRU – Dua anggota tentera ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kejadian mencederakan seorang anggota sehingga parah di Kem Iskandar, Mersing bulan lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, pihaknya menerima satu laporan berhubung kejadian menggunakan kekerasan jenayah itu yang berlaku di kem tersebut pada pukul 8.31 malam, 14 Mac lalu.
Katanya, mangsa berusia 25 tahun yang mengalami kecederaan retak pada tengkorak kepala dan pendarahan dalam otak sedang menerima rawatan di Pusat Perubatan Universti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur.
“Bertindak atas maklumat, pada pukul 11.45 malam hari sama, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Mersing menangkap dua anggota tentera berusia 24 tahun dari kem sama kerana disyaki terlibat dalam kejadian tersebut.
“Polis turut merampas rotan berukuran 72 sentimeter yang disyaki digunakan dalam kejadian itu. Semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan negatif dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan.-KOSMO! ONLINE.














