TENOM – Pendakwah terkenal, Ebit Lew hari ini diperintah membela diri terhadap 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual.
Majistret Nur Asyraf Zolhani membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ebit atau nama lengkapnya, Ebit Irawan Lew, 41.
Mahkamah kemudian menetapkan 13 hingga 16 Oktober ini untuk pendakwah tersebut membela diri.
Seramai 18 saksi pendakwaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan kes tersebut yang bermula pada September 2022.
Mengikut pertuduhan, Ebit didakwa melakukan kesemua kesalahan itu termasuk mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 40-an dengan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah kepada mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.-KOSMO! ONLINE














