fbpx
CHYH Min Chyh (dua dari kanan) bersama Allex Seah (tiga dari kanan) menunjukkan dokumen tempahan dan surat tawaran palsu digunakan scammer ketika ditemui pada sidang akhbar di Lorong Pandan, Melaka, hari ini. - Foto oleh AMRAN ALI /KOSMO!

‘Scammer’ menyamar wakil universiti sasar peniaga pastri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Pengusaha bakeri menjadi sasaran terbaharu sindiket penipuan yang menyamar sebagai wakil institusi pendidikan untuk memperdayakan peniaga di Kota Syahbandar, di sini.

Pengusaha bakeri, Lim Min Chyh, 34, berkata, dia nyaris kerugian lebih RM6,000 selepas seorang individu menghubungi pekerjanya pada 20 April lalu untuk membuat tempahan 15 kotak croissant tart bernilai RM570.

Katanya, pada awalnya, dia tidak mengesyaki apa-apa kerana semua urusan termasuk dokumen seperti sebut harga dan invois kelihatan seperti tulen daripada pihak kerajaan.

“Pada awalnya semuanya nampak seperti biasa. Mereka minta sebut harga, invois dan dokumen lengkap seperti urusan rasmi biasa, malah mereka mendakwa daripada universiti dan memberikan surat yang kelihatan sah.

“Tetapi kemudian mereka minta saya keluarkan duit dahulu untuk beli ‘door gift’ daripada pembekal lain dengan alasan kecemasan, jumlahnya sekitar RM6,000 dan akan dibayar semula bersama tempahan makanan,” katanya ketika ditemui dalam sidang akhbar bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin di Lorong Pandan di sini, hari ini.

Menurutnya, dia mula berasa curiga apabila diminta membuat bayaran pendahuluan kepada pembekal yang diperkenalkan sendiri oleh suspek.

“Saya mula syak apabila semak nombor syarikat, memang wujud tetapi jenis perniagaan tidak sama dan alamat juga berbeza.

“Bila saya hubungi pihak universiti, mereka sahkan dokumen tersebut palsu, jadi saya terus arahkan pekerja hentikan penyediaan dan tidak teruskan urusan,” ujarnya yang membuat laporan polis mengenai kejadian itu di Balai Polis Tengkera, semalam.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN