fbpx
Seniwati legenda, Datuk Seri Maria Menado meninggal dunia hari ini pada usia 94 tahun.

Filem Pontianak lakonan Allahyarham Maria Menado cipta fenomena

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pemergian seorang seniwati legenda negara, Datuk Seri Maria Menado atau nama sebenarnya Maria Abdullah menyelubungi dunia perfileman Melayu dengan penuh hiba, hari ini.

Allahyarham yang merupakan bintang besar pada era 1950-an hingga awal 1960-an, menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 12.25 tengah hari, hari ini, pada usia 94 tahun.

Menteri Komunikasi, Fahmi fadzil berkata, pemergian Maria Menado merupakan satu kehilangan besar buat industri seni tanah air kerana beliau adalah sebahagian daripada sejarah dan kenangan penting buat negara.

“Lakonannya yang cukup ikonik, terutama dalam filem Pontianak pada tahun 1957, bukan sahaja mencipta fenomena, malah membuka jalan kepada genre seram tempatan yang kita kenal hari ini.

“Perginya beliau bukan sekadar kehilangan seorang pelakon, tetapi juga sebahagian daripada sejarah dan kenangan industri seni kita. Ramai yang membesar dengan lakonan Allahyarham dan aura yang dibawanya masih terasa hingga kini,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.

Tambahnya, bagi pihak Kementerian Komunikasi, ucapan takziah dirakamkan buat seluruh ahli keluarga serta mereka yang pernah mengenali dan bekerjasama dengan seniwati tersohor itu.

Fahmi turut mendoakan agar segala jasa dan sumbangan allahyarham sepanjang mewarnai dunia seni menjadi amal baik yang berpanjangan.

“Sama-sama kita doakan agar rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” ujarnya.

Maria Menado yang dikenali sebagai salah seorang primadona filem Melayu ini bermula apabila lakonan beliau melonjak naik ketika menjadi watak utama dalam filem Pontianak yang dianggap sebagai antara filem seram Melayu terawal, sekali gus menjadikan beliau ikon awal genre tersebut.

Peranan berkenaan turut mengukuhkan kedudukannya sebagai pelakon wanita yang berpengaruh dalam sejarah perfileman tempatan.

Pemergian beliau pastinya dirasai oleh seluruh industri tempatan yang membesar dengan filem-filemnya itu. – KOSMO ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN