SEREMBAN – Empat rakan termasuk dua wanita menjadi individu pertama didakwa mengikut Seksyen 235(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 di Negeri Sembilan atas pertuduhan memiliki kemudahan rangkaian milik sebuah syarikat telekomunikasi pada 17 dan 18 April lalu.
Pengawal keselamatan, C. Ritadevi, 27, mengaku bersalah manakala tiga lagi tertuduh M. James, 42, M. R. Ilamaaran, 43, dan K. Sobana, 30, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Ritadevi didapati mempunyai kemudahan rangkaian telekomunikasi milik Maxis Telecomunications Berhad iaitu tiga unit Huawei Unit Kawalan Radio (RRU) dan empat unit Huawei Quad Band Combiner.
James, Ilamaaran dan Sobana pula dituduh memiliki masing-masing satu unit Huawei RRU dan Huawei Quad Band Combiner.
Kesalahan itu dilakukan pukul 7.25 malam di tapak Stesen Pemancar Telekomunikasi Desa Kasia Nilai Spring pada 17 April lalu dan 12.10 tengah malam di tepi jalan Taman Pinggiran Bayu, Mantin di Nilai pada 18 April lalu.
Di Mahkamah Majistret, dua lagi individu dituduh bersama empat tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencuri empat unit Huawei RRU dan enam unit Huawei Quad Combiner milik Maxis Communications Berhad.
Kesemua mereka termasuk dua tertuduh lain, A.Sivanathan, 31, dan S.Jayakumar, 33, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret, Norsalihah Sulaiman.
Kesalahan itu dilakukan lebih kurang pukul 7.17 malam di tapak pemancar pencawang tangki air Sains Nilai, Spring Villa Desa Casia di Nilai pada 17 April lalu. Kesemua mereka kemudian diberikan ikat jamin.














