KUALA LUMPUR – Tiga premis yang disyaki menyimpan pelbagai daging sejuk beku dipercayai dibawa masuk secara haram ke negara ini diserbu pihak berkuasa di sekitar Taman Usahawan Kepong di sini, hari ini.
Serbuan bermula pukul 10.30 pagi menerusi Op Taring Chiller itu dijalankan Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman.
Komander WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman, Datuk Mohd. Zaki Ashar berkata, serbuan di premis pertama menemui sejumlah besar produk babi sejuk beku yang sebahagian dipercayai diimport tanpa kebenaran.
“Pemeriksaan mendapati premis ini beroperasi secara sah, namun kita menjalankan semakan lanjut ke atas produk babi sejuk beku yang disimpan di premis terbabit.
“Premis ini mengedarkan produk babi sejuk beku untuk keperluan peniaga dan pengusaha premis makanan sekitar ibu kota. Rampasan dilakukan untuk tujuan siasatan lanjut,” katanya di sini, hari ini.
Operasi turut disertai Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KDPN) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Mohd. Zaki berkata, seramai tujuh individu termasuk tiga pekerja warga asing yang dikesan tiada dokumen sah turut ditahan dalam tiga serbuan itu, termasuk rakyat tempatan untuk tindakan lanjut.
Mengulas lanjut, katanya, pemeriksaan di premis lain turut menemukan pelbagai produk sejuk beku selain beberapa kesalahan berkaitan lesen dan permit.
“Sebuah lagi premis perniagaan yang diserbu, pihak KPDN menemui kira-kira 40 kotak minyak masak yang disimpan tanpa kebenaran. Premis itu tidak mempunyai lesen perniagaan dan mendakwa baru beroperasi kira-kira dua tahun,” katanya.
Beliau berkata, premis terbabit turut didapati menyimpan produk babi sejuk beku dan semakan lanjut sedang dijalankan pihak JPV untuk mengesahkan status produk sama ada ia diseludup dari negara luar atau produk tempatan.
Premis berkenaan turut dikenakan tindakan penutupan oleh DBKL mengikut Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976 serta Undang-undang Kecil 3(1) Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 kerana beroperasi tanpa lesen sah.
“Dalam pemeriksaan di premis ketiga, kita menemui sejumlah produk itik sejuk beku yang disyaki diseludup masuk dari negara China, bagaimanapun semakan lanjut sedang dijalankan oleh DVS.
“Soal siasat lanjut sedang dijalankan ke atas pemilik perniagaan terbabit termasuk daripada mana sumber produk itu diperoleh,” katanya.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi kesalahan yang dikesan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 3, Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Siasatan turut membabitkan kesalahan mengikut Seksyen 5(1) Akta Binatang 1953 kerana mengimport produk sejuk beku dari negara yang dilarang serta kesalahan di bawah Undang-undang Kecil Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016. – KOSMO! ONLINE














