PUTRAJAYA – Tokoh kesusasteraan Melayu moden, Abdul Rahman Napiah atau nama penanya, Mana Sikana dipilih sebagai penerima Anugerah Sastera Negara Ke-16, sekali gus dianugerahkan gelaran Sasterawan Negara.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pemilihan itu dibuat berdasarkan ketokohan beliau sebagai sasterawan yang prolifik dan konsisten menghasilkan karya kreatif yang bermutu tinggi sepanjang kerjayanya.
Menurutnya, sumbangan Mana Sikana merangkumi pelbagai genre, termasuk cerpen, novel dan drama yang sarat dengan pemikiran kritis, nilai kemanusiaan serta kepekaan terhadap realiti sosial.
Kata beliau, karya-karya beliau juga sering menampilkan pendekatan yang berani dan inovatif, sekali gus memperkayakan bentuk serta estetika penceritaan dalam kesusasteraan Melayu moden.
“Untuk makluman, keputusan panel berhubung pemilihan penerima Anugerah Sastera Negara Ke-16 telah dibuat pada 14 April 2025. Allahyarham telah kembali ke rahmatullah pada 26 Mei 2025, iaitu selepas keputusan penilaian dimuktamadkan.
“Dalam hal ini, adalah penting untuk ditegaskan bahawa asas penilaian Anugerah Sastera Negara adalah terhadap sumbangan karya dan pemikiran tokoh sepanjang hayatnya.
“Walaupun jasad tokoh telah tiada, karya dan pemikiran yang ditinggalkan akan terus hidup dan memberi manfaat kepada masyarakat serta generasi akan datang sebagai khazanah ilmu dan budaya bangsa,” katanya pada sidang akhbar pemakluman penerima Anugerah Sastera Negara Ke-16 di sini hari ini.
Media pada 26 Mei 2025 melaporkan, Abdul Rahman atau Mana Sikana meninggal dunia pada usia 80 tahun di Hospital Canselor Tuanku Muhriz.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, pemilihan penerima Anugerah Sastera Negara dilaksanakan secara teliti dan menyeluruh berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan.
Menurut Fadhlina, penilaian itu merangkumi sumbangan tokoh melalui karya kreatif dan pemikiran, peranan dalam pengembangan sastera, impak terhadap penyebaran ilmu, kepimpinan dalam persatuan sastera serta penghargaan dan pengiktirafan yang diterima.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, sebagai penerima Anugerah Sastera Negara Ke- 16, kerajaan akan memberikan penghargaan dan penghormatan negara kepada waris Allahyarham.
Ia termasuk Warkah Penghormatan Negara selain wang tunai sebanyak RM60,000 serta penerbitan karya sehingga 50,000 naskhah atau nilai maksimum RM500,000 untuk diedarkan kepada sekolah, perpustakaan serta jabatan dan agensi kerajaan. – KOSMO! ONLINE














