Kegiatan seludup warga asing sudah lama berlaku di negara ini. Walaupun pelbagai operasi dilaksanakan pihak berkuasa sama ada di darat dan laut, jenayah rentas sempadan ini tidak pernah surut.
Selagi ada permintaan dan penawaran, maka kegiatan haram itu akan menjadi terus pilihan warga asing atas pelbagai faktor termasuk mereka yang disenarai hitam.
Pintu masuk popular bagi jalan darat adalah di Kedah dan Perlis, manakala laluan air pula di kawasan Pantai Barat Semenanjung, Kelantan dan utara.
Jika sebelum ini warga Indonesia diseludup masuk melalui Selat Melaka, namun sindiket kini menukar taktik menggunakan laluan berlapis bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Perkara itu terbongkar selepas pihak imigresen menahan 10 warga Indonesia yang tiba di Lembah Klang dengan menaiki bas ekspres dari Kelantan baru-baru ini.
Sindiket dipercayai membawa migran tersebut ke Singapura sebelum diterbangkan ke Hatyai, Thailand, seterusnya ke Kelantan melalui laluan haram di sempadan Bukit Bunga.
Tindakan itu dilakukan kerana kebanyakan warga asing tersebut disenarai hitam dari memasuki Malaysia. Mereka sanggup membayar RM3,500 hingga RM4,000 seorang kepada ejen haram asalkan dapat masuk Malaysia yang merupakan ‘lubuk emas’ bagi warga asing.
Selain banyak peluang pekerjaan, sikap orang kita yang ‘mesra’ warga asing menjadikan mereka selesa berada di negara ini. Daripada hidup bujang sampai beranak-pinak.
Paling sedih, rakyat kita sendiri menjadi pengkhianat membuka ruang kepada pendatang haram. Upahnya tidak seberapa cuma RM250 satu kepala, berbanding hukuman penjara sehingga 15 tahun yang menanti mereka.
Mungkin bagi orang kampung jumlah itu lumayan, tetapi yang membuatkan penulis tepuk dahi pegawai yang celik undang-undang pun sanggup bersekongkol dengan sindiket.
Apabila wang sudah mengaburi mata, amanah dan keselamatan negara sanggup ditolak ke tepi. Membenarkan warga asing yang disenarai hitam masuk Malaysia merupakan satu pengkhianatan besar terhadap negara.
Perbuatan itu bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah kita tidak tahu apa tujuan mereka mahu masuk Malaysia.
Jangan beri muka sekiranya ada pegawai bersekongkol dengan sindiket penyeludupan dan hukuman berat wajar dikenakan sekiranya didapati bersalah.
Walaupun hukuman berat ini tidak menghapuskan aktiviti jenayah tersebut secara total, sekurang-kurangnya satu daripada rangkaian tersebut sudah terputus.
Penulis salute dengan adik Wan Othman Wan Mohd. Nor Hassyim yang sanggup bekerja sebagai pengutip sampah dari malam sampai awal pagi untuk menanggung keluarga termasuk adik-adik yang masih bersekolah.
Walaupun ada yang memandang rendah pekerjaan yang dilakukan pemuda berusia 23 tahun tersebut, namun ia jauh lebih mulia daripada bekerja dalam pejabat berhawa dingin dan duduk kerusi empuk, tetapi membawa pulang hasil daripada sumber haram untuk keluarga.
















