fbpx
Mohd. Ali (tengah) bergambar kenangan ketika menyertai larian MHS Fun Run: 200 Years of Glory di Melaka baru-baru ini. - Foto ihsan Istana Melaka

Tun Mohd. Ali meriahkan larian 200 tahun MHS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Acara Larian Santai Malacca High School (MHS): 200 Tahun Kegemilangan berlangsung meriah dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr. Mohd. Ali Rustam sebagai alumni sekolah tersebut baru-baru ini.

Pengetua MHS, Johan Othman berkata, tujuan larian sejauh lima kilometer yang disertai lebih 1,000 peserta terdiri daripada warga sekolah itu diadakan sebagai meraikan sambutan ulang tahunnya yang ke-200.

Katanya, MHS merupakan sekolah tertua di Melaka dan kedua tertua di Malaysia selepas Penang Free School di Pulau Pinang.

“Kehadiran Tun Mohd. Ali sebagai alumni MHS memeriahkan lagi acara. Program itu juga menjadi platform kutipan dana bagi menambah baik kemudahan sekolah, termasuk penyediaan stesen minuman di setiap blok akademik serta penambahbaikan kemudahan bilik guru demi kesejahteraan murid dan warga pendidik.

“Penganjuran ini menghimpunkan warga sekolah, alumni, ibu bapa dan komuniti setempat dalam satu acara santai yang menggalakkan gaya hidup sihat, di samping mengukuhkan hubungan dan semangat kebersamaan,” katanya.

Menurut Johan, sambutan ini bukan sekadar mengimbau sejarah, malah membuka ruang kepada semua pihak untuk bersama-sama menyumbang ke arah pembangunan masa depan sekolah yang lebih cemerlang.

Tambahnya, program itu mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk Pejabat TYT, Jabatan Ketua Menteri, Jabatan Pelajaran Negeri, Jabatan Kesihatan Negeri, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah dan lain-lain.

“Program ini diharap menjadi simbol sokongan berterusan dalam memperkukuh peranan SMK Tinggi Melaka sebagai institusi pendidikan unggul yang melahirkan generasi berilmu dan berwibawa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN