KUALA LUMPUR – Skuad badminton wanita negara terpaksa mengakui keunggulan Jepun selepas tewas 1-4 dalam aksi terakhir Kumpulan B Piala Uber di Horsens, Denmark, hari ini.
Meskipun tewas, Malaysia tetap melangkah ke suku akhir selaku naib juara kumpulan hasil dua kemenangan terdahulu, sekali gus menamatkan penantian panjang untuk kembali ke pentas kalah mati.
Perseorangan negara, K. Letshanaa memulakan cabaran dengan aksi kompetitif, namun terpaksa akur kepada pemain nombor satu dunia, Akane Yamaguchi 19-21, 17-21.
Tekanan semakin dirasai apabila beregu utama, Ong Xin Yee-M. Thinaah tidak mampu mengekang kehebatan gandingan berpengalaman Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto yang menang selesa 21-9, 21-9.
Kedudukan terus memihak Jepun selepas Wong Ling Ching turut gagal mencuri mata apabila tewas 16-21, 13-21 kepada Tomoka Miyazaki dalam perlawanan ketiga.
Ketika perlawanan dilihat bakal berakhir tanpa sebarang mata, beregu muda negara, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah tampil menyelamatkan maruah pasukan dengan kemenangan dramatik 21-17, 12-21, 21-19 ke atas Rin Iwanaga-Kie Nakanishi.
Pasangan itu mempamerkan semangat juang tinggi apabila bangkit daripada ketinggalan 18-19 pada set penentuan sebelum menutup perlawanan dengan kemenangan bergaya.
Namun, Malaysia gagal menambah mata kedua apabila Goh Jin Wei terpaksa menarik diri ketika menentang Riko Gunji selepas memenangi set pertama 21-19.
Secara keseluruhan, jurang kualiti antara kedua-dua pasukan jelas menjadi pemisah, namun Malaysia tetap boleh berbangga dengan pencapaian mara ke suku akhir, selain membawa bekalan keyakinan dan pengalaman berharga menjelang aksi kalah mati. KOSMO! ONLINE














