SHAH ALAM – Kerajaan Selangor akan mengadakan pertemuan bersama pusat asuhan bagi membincangkan isu penggunaan gajet dalam kalangan kanak-kanak susulan kebimbangan terhadap gejala ‘sindrom gajet’ yang semakin meningkat.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perbincangan itu perlu dilaksanakan secara menyeluruh bagi menangani isu berkenaan yang turut membabitkan ibu bapa dan pengusaha pusat asuhan.
“Saya percaya perlunya kita berbincang dengan pusat-pusat asuhan bagaimana menangani sindrom gajet. Ini kerana ada pusat asuhan menggunakan gajet untuk menangani dan ‘mendiamkan’ dan mendamaikan anak-anak yang liar ini.
“Ibu bapa pun banyak tidak tahan dan mampu menahan anak-anak dia pegang gajet dan serahkan gajet supaya anaknya tenang dan tidak agresif di kedai dan sebagaimana. Ia memerlukan tindakan yang komprehensif di kalangan guru dan sebagainya,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Muhamad Muhaimin Harith Abdullah Sani (PN – Batang Kali) ingin mengetahui kos dibelanjakan kerajaan negeri dalam mengatasi masalah sindrom gajet di kalangan kanak-kanak berusia tiga hingga enam tahun.
Amirudin memaklumkan perkara itu antara perkara boleh dimasukkan dalam kerangka ekonomi penjagaan Selangor dibawah Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan negeri bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dalam menangani sindrom gajet menerusi program penggunaan internet secara selamat.
“Sepanjang tahun lalu, program berkenaan telah dilaksanakan di 811 buah sekolah manakala 133 lagi sekolah dijadualkan pada tahun ini dalam menangani isu ketagihan media sosial dalam kalangan pelajar.
“Inisiatif ini turut menyentuh keselamatan digital termasuk perlindungan data peribadi, etika penggunaan dan peningkatan kefahaman risiko dalam talian selain isu jenayah siber seperti penipuan dalam talian,” katanya. -KOSMO!ONLINE














