PETALING JAYA – Seorang wanita meluahkan rasa trauma selepas mendakwa seorang lelaki mengambil gambarnya ketika berada di dalam Transit Aliran Massa (MRT) laluan Kajang, baru-baru ini.
Menerusi hantaran tular di Threads oleh pengguna Its.Aen, kejadian itu berlaku ketika keadaan di dalam tren tersebut agak lengang.
Menurut mangsa, dia menyedari tindakan mencurigakan lelaki terbabit yang secara tiba-tiba mengeluarkan kamera daripada begnya sebelum dihalakan ke arahnya.
“Tiba-tiba seorang lelaki Cina bawa keluar kamera dari beg dia dan ambil gambar saya.
“Seram! Bila ada orang lalu depan dia, dia akan sorok kamera dalam beg dan bawa keluar semula bila tiada orang,” katanya.
Apa yang lebih menghairankan mangsa, dia ketika itu mengenakan pakaian yang menutup aurat dengan sempurna namun tetap menjadi sasaran individu tidak bertanggungjawab itu.
“Saya pakai pakaian tertutup dari kepala sampai kaki jadi saya tidak tahu kenapa dia buat macam itu,” tambahnya lagi.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengguna turut memberi pelbagai reaksi kerana berasa berang dengan tindakan lelaki berkenaan.
Menurut Megatmredza berkata, dia mendakwa lelaki tersebut sememangnya sedang merakam gambar berdasarkan pergerakan ‘shutter’ lensa kamera yang jelas kelihatan.
“Sesiapa yang pernah pakai kamera macam ini tahu dia tengah curi tangkap gambar mangsa. Tengok ‘shutter lens’ dia sudah cukup. Tutup buka tutup,” katanya.
“Awak patut buat aduan kepada Kakitangan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) supaya staf mereka boleh menahan suspek dan buat pemeriksaan terhadap kameranya,” ujar Kookiemonster10311104. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














