fbpx
Zambry (tengah) bercakap pada Taklimat Media bagi Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Bersama Antara Malaysia - Republik Turkiye dan Kongres Pendidikan Bumiputera di Menara Dato Onn, WTCKL. Foto oleh FARIZ RUSADIO

Kerjasama pendidikan tinggi Malaysia – Turkiye diiktiraf secara rasmi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Buat julung kalinya, Malaysia menjalinkan kerjasama strategik bersama Republik Turkiye dalam bidang pendidikan tinggi yang diiktiraf secara rasmi oleh kedua-dua negara.

Kerjasama ini dilaksanakan menerusi Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Bersama Malaysia – Republik Turkiye yang berlangsung mulai hari ini hingga 29 April (Rabu) di Pulau Pinang.

Menteri  Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, berkata, fokus kerjasama di antara kedua-dua negara adalah melibatkan bidang masa depan seperti kecerdasan buatan, aeroangkasa, teknologi hijau, kelestarian dan transformasi digital.

Menerusi program tersebut beliau berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi juga akan menandatangani memorandum persefahaman dalam kajian bersama dalam bidang tertentu melibatkan universiti-universiti di Malaysia dan Turkiye.

“Ini merupakan mesyuarat kedua diadakan setelah Malaysia dan Turkiye menandatangani perjanjian persefahaman bagi mengadakan kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi.

“Ia akan melibatkan kesemua universiti awam dan universiti GLU atau ‘govemment linked university’, tiga IPTS (institut pengajian tinggi swasta), politeknik serta IPTS negeri. Kita ada beberapa kategori, kategori IPTS biasa dan IPTS negeri.

“Dijangkakan, kedua-dua negara akan menandatangani persefahaman untuk menghantar para pelajar kita untuk belajar di Turkiye dan juga sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Taklimat Media bagi Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Bersama Antara Malaysia – Republik Turkiye dan Kongres Pendidikan Bumiputera di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.

Sementara itu, kongres pendidikan yang pertama iaitu Kongres Pendidikan Bumiputera pula akan berlangsung pada 1 Mei di Dewan Merdeka, WTCKL.

Ketua Sekretariat kongres itu, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi berkata, ia melibatkan 25 orang pembentang kertas kerja yang melibatkan tokoh-tokoh berwibawa dalam bidang pendidikan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN