SERAMAI 250 anak muda telah berkumpul di Rizab Biosfera Bukit Bendera (PHBR) di Pulau Pinang bagi mendokumentasikan keharmonian antara manusia dan alam semulajadi.
Melalui lensa telefon pintar, mereka merakam pelbagai kisah mengenai biodiversiti, kehidupan harian, serta kelestarian komuniti setempat.
Program yang berlangsung dari 25 hingga 26 April lalu dianjurkan bersama oleh Suruhanjaya Kebangsaan Malaysia untuk UNESCO (MNCU), Perbadanan Bukit Bendera (PHC), dan Universiti Sains Malaysia (USM), dengan sokongan padu daripada UNESCO dan vivo.
Malaysia merupakan antara sebilangan kecil negara yang dipilih bagi pelancaran inisiatif global ini.
Pemilihan PHBR sebagai lokasi utama mencerminkan kedudukannya sebagai tapak contoh bagi pemuliharaan alam yang seiring dengan kehidupan komuniti.
Peserta yang terdiri daripada pelajar Kolej Vokasional Pulau Pinang, pelajar Tingkatan Enam, mahasiswa USM, serta ahli Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) telah mengikuti bengkel intensif selama dua hari.

Bengkel ini bertujuan untuk melatih mereka menjadi pencerita visual yang mampu memberikan impak positif kepada masyarakat.
Terletak di salah satu lokasi contoh pemuliharaan ekologi di Asia, PHBR dijadikan sebagai ruang pembelajaran untuk peserta melihat sendiri hubungan erat antara komuniti dan persekitaran mereka.
Melalui sesi bimbingan khas, para peserta mempelajari cara menyusun naratif, merakam imej yang bermakna, serta menyampaikan isu alam sekitar dalam bentuk yang mudah difahami oleh orang ramai.
Inisiatif ini turut disokong oleh mentor daripada vivo, termasuk pakar pengimejan, duta pengimejan mudah alih ZEISS, serta pencipta kandungan (KOL) yang memberikan bimbingan teknikal dan kreatif kepada para peserta.
Setiausaha Agung MNCU, Fadzilah Fadzil,, yang mewakili Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek merangkap Presiden MNCU dalam ucapannya merasmikan majlis berkenaan menekankan bahawa penceritaan visual oleh belia adalah alat yang hebat untuk membentuk persepsi masyarakat, melindungi alam, dan menghubungkan komuniti.
Beliau turut menyatakan bahawa pendidikan harus melangkaui bidang akademik bagi memupuk pemikiran kritikal dan keyakinan diri, selaras dengan agenda pendidikan negara yang mementingkan kelestarian.

Dalam pada itu, Pengarah dan Wakil UNESCO ke Malaysia, Maki Katsuno-Hayashikawa berkata, kerjasama ini memberikan anak muda alatan yang diperlukan untuk menceritakan kisah dari komuniti mereka sendiri.
“Dengan menggabungkan kreativiti dan kesedaran alam sekitar, ia membantu menarik perhatian dunia terhadap warisan semula jadi dan budaya Malaysia,” katanya.
Sementara itu, wakil vivo menyatakan mereka sangat menghargai perspektif unik pencipta muda dan komited menyokong mereka melalui teknologi pengimejan vivo.
“Matlamat kami adalah untuk memberikan bimbingan bagi membantu belia merakam momen harmoni antara manusia dan alam, seterusnya mengubah pemerhatian individu menjadi naratif global yang berimpak,” jelasnya.
Bengkel ini merupakan sebahagian daripada inisiatif global ‘Capture the Future’ yang memfokuskan kepada rizab biosfera.
UNESCO dan vivo kini menjemput belia berumur 18 hingga 35 tahun di seluruh dunia untuk menyertai panggilan terbuka bagi penyertaan penceritaan visual.
Tarikh tutup penyertaan adalah pada 31 Mei 2026 dan pemenang yang terpilih akan berpeluang menyertai Global Youth Visual Storytelling Co-Creation Camp di Eropah pada akhir tahun ini.
Untuk maklumat lanjut dan penghantaran karya, sila layari: Laman Web Rasmi UNESCO. – KOSMO! ONLINE














