TEMPOH lima bulan selepas ini menjadi detik paling kritikal buat skuad Bawah 17 Tahun (B-17) negara yang bakal menghadapi cabaran lebih getir dalam saingan kelayakan Piala Asia B-17, November ini.
Pengendali negara, Shukor Adan menjelaskan secara realistiknya, tempoh lima bulan itu bukan jangka masa yang terlalu lama dan pemain kena bersedia untuk harungi perancangan lebih berintensiti yang bakal diatur oleh pengurusan pasukan.
“Apa yang kita lihat, pasukan memerlukan lebih banyak perlawanan antarabangsa supaya pemain dalam sesuaikan diri dengan tahap yang lebih tinggi. Ini kerana untuk aksi di peringkat Asia, ia berbeza berbanding saingan di Asia Tenggara.
“Ada masa lima bulan sebelum pusingan kelayakan, dari segi masa ia agak pendek, tetapi kita akan lakukan yang terbaik untuk pastikan pemain bersedia.
“Kita tunggu undian dulu, dari situ kita akan buat persiapan, atur persahabatan dan perancangan kem latihan,” katanya.
Sebelum ini, hajat skuad B-17 negara lunas dendam terhadap Vietnam tidak terlaksana apabila tewas 0-3 pada aksi final Kejuaraan B-17 Asean di Indonesia sekali gus terpaksa berpuas hati dengan status naib juara .
Keputusan ini mengekalkan rekod bersih Vietnam yang menang dalam dua pertemuan sebelum ini iaitu pada pusingan kelayakan Piala Asia B-17, November tahun lalu dan perlawanan peringkat Kumpulan A Kejuaraan B-17 Asean, 13 April lalu.
“Selepas kalah dengan Vietnam, barisan kejurulatihan akan menganalisa individu dan pasukan. Selepas itu kita akan baiki apa yang kurang terutamanya dalam aspek fizikal serta kekuatan pemain,” katanya.














