GUA MUSANG – Seorang lelaki warga Thailand direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes penemuan mayat seorang penoreh getah dengan kesan tetakan yang juga rakan senegaranya di kawasan anak air di Kampung Pulai di sini pada Khamis lalu.
Perintah reman terhadap lelaki berusia 46 tahun yang bermula hari ini hingga Sabtu itu dikeluarkan oleh Hakim Nik Mohd. Tarmizie Nik Mohd. Shukri.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, tahanan reman itu membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Kosmo! Online semalam melaporkan, mayat seorang lelaki warga Thailand dengan kesan tetakan pada beberapa bahagian anggota badan dijumpai dalam keadaan terlangkup di kawasan anak sungai di Kampung Pulai di sini pada Khamis lalu.
Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang menerima maklumat mengenai penemuan mangsa, Manah Maemoh, 48, yang bekerja sebagai penoreh getah kira-kira pukul 2 petang oleh salah seorang rakan senegaranya selepas mencari lelaki tersebut yang hilang.
Choon Foo berkata, mangsa dijumpai dalam keadaan terbaring dan terlangkup tanpa seurat benang berhampiran kawasan batu di dalam anak sungai.
Katanya, pemeriksaan terhadap tubuh badan mangsa mendapati banyak kesan tetakan selain luka dipercayai akibat senjata tajam pada bahagian kepala, muka, leher, tangan dan kaki. – KOSMO! ONLINE














