KUALA LUMPUR – Skuad badminton wanita negara dipaksa bekerja keras sebelum meraih kemenangan 3-2 ke atas Turkiye dalam aksi pembukaan Kumpulan B Piala Uber di Forum Horsens, hari ini.
Malaysia bermula cemerlang menerusi perseorangan utama, K. Letshanaa yang menghadiahkan mata pertama selepas menewaskan Neslihan Arin 21-16, 13-21, 21-13 dalam perlawanan tiga set yang sengit.
Bagaimanapun, kedudukan kembali terikat 1-1 apabila Wong Ling Ching yang menghuni ranking ke-38 dunia tewas kepada pemain ranking ke-78 dunia, Ozge Bayrak 17-21, 21-15, 18-21.
Momentum kembali memihak kepada Malaysia apabila Goh Jin Wei tampil tenang untuk menundukkan Zehra Erdem 21-14, 21-13, sekali gus meletakkan pasukan negara kembali di hadapan.
Namun, hasrat menamatkan perlawanan lebih awal tidak kesampaian apabila beregu utama, Ong Xin Yee-M. Thinaah tewas kepada naib juara Eropah, Bengisu Ercetin-Nazlican Inci 22-20, 19-21, 19-21 untuk mengheret aksi ke penentuan.
Dalam situasi getir, beregu muda negara, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan tampil wira apabila menyumbang mata kemenangan selepas menewaskan Yasemen Bektas-Zehra Erdem 21-18, 21-19.
Mengulas kekalahan tersebut, Thinaah mengakui mereka sedikit terperangkap dengan corak permainan lawan meskipun sudah bersedia menghadapi tentangan sengit.
“Kami tahu mereka lawan yang kuat dan baru beraksi di final Kejohanan Eropah. Kami agak bersedia, tetapi mereka berjaya memberi tekanan dan kami sedikit mengikut corak permainan mereka,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Sementara itu, Jin Wei menegaskan setiap pemain memikul tanggungjawab sama tanpa mengira posisi, selain mengakui masih ada ruang untuk memperbaiki prestasi.
“Saya rasa masih banyak yang perlu diperbaiki, tetapi pujian juga harus diberikan kepada pihak lawan kerana mereka memberikan tentangan yang sangat baik,” katanya.
Malaysia dijadualkan menentang Afrika Selatan dalam aksi kedua kumpulan esok, dengan misi untuk meneruskan momentum kemenangan. KOSMO! ONLINE














