ADA sesuatu yang magis tentang Gunung Silipat, Thailand. Gunung itu menjadi tempat langit subuh bertemu lautan awan dan hening hutan yang menenangkan.
Perjalanan ke puncaknya mungkin tidak terlalu panjang tetapi setiap langkah membawa rasa teruja yang sukar digambarkan.
Gunung ini semakin popular dalam kalangan pencinta alam dari Malaysia, namun masih mengekalkan pesonanya sebagai ‘hidden gem’ yang tenang dan tidak terlalu sesak.
Tahun lalu, saya berpeluang menyusuri trek menuju puncak Silipat dan pengalaman itu terasa seperti percutian ringkas yang memulihkan, penuh dengan udara sejuk, pemandangan yang luar biasa dan momen-momen kecil yang membuatkan seseorang mahu kembali lagi.
Dari saat pertama memasuki kawasan gunung sehinggalah melihat matahari terbit di atas awan, Gunung Silipat menawarkan sesuatu yang lebih daripada sekadar pendakian.
Pendakian tersebut juga merupakan pendakian pertama saya untuk tahun 2025.
Biarpun terpaksa mendaki dengan membawa beg yang sangat berat, namun saya anggap ia adalah ‘warm-up’ atau sesi memanaskan badan sebagai persediaan sebelum saya melangkah masuk ke tahun baharu.

Bagi saya, tiada perbandingan lain yang boleh saya gambarkan dengan peluang melihat matahari pagi di Gunung Silipat. Kelelahan mendaki di awal pagi terasa berbaloi apabila melihat keindahan itu.
Lebih menyeronokkan apabila saya berpeluang melihat pemandangan awan karpet yang cukup mempesonakan.
Rasa seperti sedang terbang apabila melihat permukaan awan serba putih bersama pemandangan langit pagi yang memukau.
Perjalanan dimulakan dari Betong yang mana kami menikmati sarapan pagi di kafe Bon Nern.
Seterusnya, kami menaiki tuktuk ke Skywalk Aiyerweng. Bagi saya, perjalanan dan suasananya ibarat berada di Cameron Highlands, cuma cuacanya panas.

Dari Skywalk itu, kami boleh nampak Gunung Silipat dan sejujurnya pemandangannya cukup indah.
Bagi saya, percutian mengajar saya banyak perkara, antaranya adalah ia mengajar saya melihat dunia dengan hati yang terbuka dan memahami bahawa kebahagiaan datang daripada pengalaman, bukan kemewahan.
Sedikit perkongsian tentang persediaan saya setiap kali pergi bercuti, saya akan memastikan saya buat itinerari ringkas tapi fleksibel dan membuat tempahan tiket serta penginapan lebih awal supaya dapat harga yang jauh lebih murah berbanding saat-saat akhir.
Saya juga akan menyemak cuaca dan budaya tempatan negara yang bakal saya kunjungi, supaya pakaian dan persediaan saya itu sesuai dengan keadaan.














