JASIN – Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan bekerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi membangunkan modul latihan khas bagi warden sepenuh masa di semua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sebagai langkah membendung budaya buli.
Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, hasil kajian dijalankan UPM mendapati pelaksanaan warden sepenuh masa dalam kalangan bekas anggota tentera di MRSM menunjukkan peningkatan dari segi akademik dan disiplin pelajar.
“Disebabkan itu kita akan bekerjasama dengan UPM, modul latihan pembangunan warden-warden ini akan dilakukan, maknanya kita akan ambil awal supaya mereka ini dilatih sebelum bermula 1 Januari 2027 nanti.
“Semua 58 MRSM akan melaksanakan inisiatif ini, namun bermula Jun tahun ini kita akan laksanakan terlebih dahulu di 10 MRSM,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Anugerah Kecemerlangan SPM 2025 di MRSM Tun Ghafar Baba di sini, hari ini.
Tambah beliau, warden berkenaan bukan sahaja berperanan memantau disiplin pelajar, malah bertindak sebagai ibu bapa dalam mendidik dan membentuk sahsiah pelajar di asrama.
Dalam pada itu, beliau berkata, Mara memperuntukkan sebanyak RM650,000 bagi menaik taraf prasarana MRSM Tun Ghafar Baba selepas institusi itu mencipta sejarah muncul sekolah terbaik SPM 2025. – KOSMO! ONLINE














