fbpx
Meor Ismail (kanan) ketika merasmikan aplikasi MyDIMS di WTCKL, hari ini. Foto oleh AMIR KHALID/KOSMO!

MyDIMS hantar amaran awal dalam radius 25km dari kawasan bencana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Aplikasi terkini, Sistem Pengurusan Maklumat Bencana Malaysia (MyDIMS) berupaya menghantar notifikasi segera amaran awal meliputi 25 kilometer (km) dari kawasan bencana kepada para pengguna.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Meor Ismail Meor Akim, berkata, MyDIMS merupakan aplikasi maklumat yang mengintegrasikan amaran dan data bencana dari pelbagai agensi teknikal secara bersepadu.

Beliau berkata, aplikasi yang boleh dimuat turun melalui Google Play Store dan Apple App Store itu turut menyediakan pautan dail segera ke talian MERS 999, bagi membolehkan tindak balas bantuan kecemasan yang lebih cepat.

“Pengguna boleh memantau status terkini jenis bencana, jumlah mangsa, serta bilangan pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka, sekali gus membantu pengurusan bencana dengan lebih teratur.

“Ia juga menyediakan panduan navigasi ke lokasi PPS yang diintegrasikan dengan fungsi pemetaan digital. Penggunanya boleh melihat status PPS sama ada masih dibuka atau telah ditutup, serta kapasiti semasa bagi memudahkan perancangan pergerakan mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Aplikasi MyDIMS di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.

Tambah Meor Ismail, MyDIMS yang dibangunkan NADMA itu juga berfungsi sebagai hab rujukan dengan menyediakan pintasan ke aplikasi mudah alih agensi teknikal lain seperti myCuaca, MyPublic InfoBanjir, MyJAS EQMS, Bencana JKR, MyIBJKM, dan myPasang Surut.

Pintasan ke aplikasi-aplikasi itu jelas beliau, memberikan kemudahan setempat kepada pengguna untuk mendapatkan perincian yang bersifat lebih teknikal.

“Para pengguna juga boleh menggunakan fungsi carian talian kecemasan yang memudahkan pengguna mencari nombor telefon pusat kawalan operasi bencana negeri dan daerah.

“Carian juga meliputi agensi kecemasan berdekatan seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam berdasarkan jarak lokasi semasa mereka,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN