KUALA LUMPUR – Permohonan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk dilepas dan dibebaskan (DNA) atas 47 pertuduhan dana Yayasan Akalbudi akan diketahui 14 Mei ini.
Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor menetapkan tarikh itu selepas peguam Datuk Hamidi Mohd. Noh yang mewakili Ahmad Zahid memaklumkan pihaknya memohon untuk menangguhkan keputusan yang sepatutnya ditetapkan hari ini.
“Mahkamah menetapkan 14 Mei untuk keputusan tertakluk kepada satu keputusan Mahkamah Rayuan (berhubung rayuan Badan Peguam terhadap Ahmad Zahid) yang akan diberikan pada 7 Mei,” katanya.
Semasa prosiding pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Shahrizzat Armadan dan peguam pemerhati Badan Peguam iaitu Collin Andrew.
Sebelum ini, pada 24 Februari lalu, pihak pendakwaan tidak membantah permohonan Ahmad Zahid untuk dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut.
Namun Hakim Nurulhuda memaklumkan walaupun pihak pendakwaan tidak membantah, mahkamah tidak akan membuat keputusan terhadap permohonan tersebut sehingga keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes melibatkan Badan Peguam.
Ahmad Zahid memfailkan permohonan untuk dilepas dan dibebaskan atas 47 pertuduhan di Mahkamah Tinggi pada 28 Januari lalu dengan menamakan AGC sebagai responden.
Ia dengan alasan Peguam Negara dalam satu kenyataan media pada 8 Januari lalu, memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) terhadap 47 pertuduhan berkenaan.
Pada 8 Januari lalu, AGC memutuskan bahawa tiada tindakan lanjut (No Further Action) berhubung 47 pertuduhan kesalahan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan Ahmad Zahid.
Menurut AGC, keputusan itu sekali gus membawa kepada penamatan muktamad kes tersebut selaras dengan kuasa dan budi bicara Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan.
Pada 4 Setember 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada 47 tuduhan melibatkan kesalahan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi. – KOSMO! ONLINE














