SHAH ALAM – Semangat setia kawan, pelakon Nazia Mustafar sanggup mengenepikan urusan perniagaan demi memberi sokongan moral saat rakan baiknya, Amyza Aznan kehilangan anak tersayang.
Nazia atau nama penuhnya Siti Naziyah Sheikh Mustafar, menghentikan segala urusan kendai makanannya tanpa berfikir panjang demi menemani rakannya sebaik sahaja anak Amyza ditahan di wad akibat kanser paru-paru.
“Bila dengar berita itu (anak Amyza di hospital), tak tahu nak cakap.
“Saya memang tutup kedai walaupun tengah masak. Saya tak fikir apa, terus datang teman dia.
“Saya tolak tepi dulu (kedai) yang penting saya teman Amyza sampai jenazah dimandikan,” katanya kepada Kosmo! Online pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Nazia Mustafar, baru-baru ini.
Selain itu, pelakon drama Thariq Ridzuwan: His Treasure itu turut mengorbankan sambutan perayaan Aidilfitri demi menyediakan hidangan buat majlis tahil yang dianjurkan Amyza.
“Malah, hari raya pertama sepatutnya saya beraya tapi saya masak untuk dia sebab dia nak buat tahlil.
“Saya bangun pagi-pagi masak untuk 100 orang makan, saya korbankan raya sebab nak masak untuk dia.
“Kalau tempat lain tak tahu lah mana yang boleh kan sebab hari raya pertama, saya pun faham siapa saja yang boleh,” katanya lagi.
Pada masa sama, Nazia menjelaskan bahawa ikatan persahabatan yang terjalin sudah lama wujud dan turut melibatkan anak-anak mereka yang membesar bersama.
“Kami kawan dah lama, anak-anak dia pun baik dengan anak-anak saya. Walaupun kami jarang jumpa tapi kami akrab.
“Apa-apa permasalahan, kami boleh tahu,” ujarnya.
Sebelum ini, ramai memuji sikap Nazia bersama rakan selebriti lain seperti Didie Alias dan Ieda Moin yang sentiasa berada di sisi Amyza sejak arwah Andre menerima rawatan akibat kanser paru-paru di Hospital Kuala Lumpur sehingga urusan pengebumian selesai.- KOSMO! ONLINE






