fbpx
Mahkamah Persekutuan.

Hukuman sebat berperlembagaan, tidak diskriminasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini, hari ini memutuskan bahawa hukuman sebat di negara ini tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak mendiskriminasi pesalah lelaki.

Dalam keputusan 2-1 oleh panel yang diketuai Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh menyatakan walaupun terdapat kes seorang banduan meninggal dunia selepas disebat di Penjara Pokok Sena, Kedah, ia merupakan kes terpencil.

“Untuk mengatakan bahawa kematian tersebut adalah akibat langsung hukuman sebatan tanpa sebarang bukti perubatan yang jelas adalah bersifat andaian dan spekulasi semata-mata dan Mahkamah ini tidak berada dalam kedudukan untuk terlibat dalam sebarang spekulasi.

“Pemohon (juga) tidak mengemukakan sebarang bukti perubatan dalam afidavit masing-masing bahawa mereka tidak layak untuk menjalani hukuman sebatan yang mana jika dilaksanakan, akan menimbulkan risiko kematian (terhadap mereka). Perlu ditegaskan bahawa hukuman sebatan tidak bertujuan untuk menyebabkan kematian seperti hukuman mati yang secara langsung menafikan hak untuk hidup.

“Harus diakui bahawa hampir semua bentuk hukuman dalam sistem keadilan jenayah kita membawa kesan yang mendalam dan memudaratkan, sama ada dari segi psikologi, emosi, fizikal atau kewangan. Potensi berlakunya kesan buruk tidak dengan sendirinya menafikan kesahan undang-undang sesuatu hukuman,”kata Hakim Wan Ahmad Farid.

Beliau berkata demikian ketika membaca keputusan majoriti yang turut dipersetujui oleh Hakim Besar Sabah Sarawak, Datuk Azizah Nawawi permohonan semakan oleh tiga orang banduan untuk mengenepikan hukuman sebat yang dikenakan ke atas mereka atas alasan boleh menyebabkan risiko kematian.

Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Lee Swee Seng menentang keputusan itu.

Banduan-banduan tersebut, Mohd. Helmi Anuar Mohd Kassim, Kumanaan Anthony Vincent dan J. Sivachandran dalam permohonan mereka menyatakan hukuman sebat melanggar Perkara 5 (kebebasan diri) dan 8 (kesamarataan) Perlembagaan Persekutuan ekoran terdapat risiko kematian susulan kes di Penjara Pokok Sena.

Ketiga-tiga lelaki itu pada asalnya dijatuhi hukuman mati atas kesalahan mengedar dadah atau membunuh, tetapi hukuman mereka diganti kepada penjara 30 tahun dan sebatan di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.

Di bawah hukuman yang dipinda, Mohd Helmi dan Kumanaan masing-masing dihukum sebat 24 kali, manakala Sivachandran yang disabitkan kesalahan membunuh, dijatuhi hukuman 12 sebatan selain penjara 30 tahun.

Selain itu, Hakim Wan Ahmad Farid menyatakan walaupun pesalah wanita tidak dikenakan hukuman sebat, ia tidak bermaksud bahawa hukuman itu mendiskriminasi pesalah lelaki.

“Seksyen 289 Kanun Tatacara Jenayah bukan sahaja mengecualikan wanita daripada dikenakan hukuman sebatan, malah turut mengecualikan lelaki yang dijatuhi hukuman mati (daripada disebat) dan lelaki yang berumur lebih daripada 50 tahun (kecuali lelaki yang dijatuhi hukuman sebatan di bawah1 seksyen 376, 377C, 377CA atau 377E Kanun Keseksaan). Ia tidak mengecualikan wanita “sahaja”.

“Dalam konteks ini, pengecualian wanita daripada hukuman sebatan bukanlah berat sebelah yang tidak memihak terhadap lelaki sebaliknya satu bentuk layanan keutamaan (preferential treatment) atau khas yang diperuntukkan khusus untuk wanita. Tambahan pula, para pemohon gagal menunjukkan bahawa wanita akan mendapat layanan sama (seperti pesalah lelaki) “sekiranya bukan kerana” jantina mereka.

Sementara itu, Hakim Swee Seng dalam penghakiman menentangnya menyatakan hukuman sebat pada masa ini adalah bertentangan dengan Perkara 5(1) dan 8(1) Perlembagaan Persekutuan, satu bentuk hukuman yang kejam, tidak berperikemanusiaan dan menjatuhkan maruah pesalah.

“Sebatan melibatkan kesakitan yang amat teruk, koyakan kulit, luka terdedah, parut kekal, serta kemungkinan jangkitan dan komplikasi perubatan serius. Dalam konteks ini, hukuman tersebut dianggap tidak selaras dengan perlindungan perlembagaan terhadap hak hidup dan kebebasan diri.

“Seorang banduan yang disabitkan, walaupun secara sah dilucutkan kebebasannya, masih berhak mendapat perlindungan kebebasan asasi yang dijamin oleh Perlembagaan. Keperluan kehadiran pegawai perubatan sebelum dan semasa pelaksanaan sebatan dilihat sebagai menekankan tahap serius risiko fizikal yang terlibat.

“Pengecualian wanita daripada hukuman sebatan dilihat sebagai satu perbezaan perundangan yang berasaskan perbezaan fizikal dan fisiologi, dan bukannya diskriminasi yang dilarang atas dasar jantina. Terdapat perbezaan yang munasabah antara lelaki dan wanita, dan oleh itu layanan berbeza dalam konteks sebatan tidak dianggap sebagai diskriminasi,”kata Hakim Swee Seng.

Oleh itu, Hakim Swee Seng memutuskan bahawa hukuman sebat itu itu tidak berperlembagaan dan mana-mana hukuman sebat yang belum dilaksanakan hendaklah dibatalkan dan tiada lagi hukuman sebat boleh dikenakan terhadap mana-mana pesalah.

Bagaimanapun, hakim itu menyatakan penghakiman minoritinya itu tidak melibatkan hukuman sebat dalam Undang-Undang Syariah, disiplin sekolah, atau hukuman oleh ibu bapa, kerana perkara tersebut tidak timbul dalam permohonan ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN