KAJANG – Dua kemalangan berasingan dilaporkan berlaku dalam tempoh kira-kira dua jam di Jalan Semenyih berhampiran Malaysian-Japan International Institute of Technology (MJII), awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian pertama berlaku kira-kira pukul 5.30 pagi melibatkan sebuah kereta jenis Honda City yang dipandu lelaki tempatan berusia 24 tahun.
“Siasatan mendapati kenderaan tersebut hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar tiang lampu di pembahagi jalan akibat cuaca hujan serta permukaan jalan yang licin.
“Bagaimanapun, pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kira-kira dua jam kemudian di lokasi sama, satu lagi kemalangan berlaku melibatkan sebuah kereta berwarna putih yang membrek secara mengejut selepas melihat kenderaan Honda City yang rosak di hadapan.
“Pada masa sama, sebuah motosikal di belakang turut terjatuh ketika cuba membrek dan mengelak kenderaan tersebut,” ujarnya.
Beliau berkata, pemandu kereta berkenaan tidak mengalami kecederaan, manakala penunggang motosikal dilaporkan cedera ringan dan meninggalkan lokasi kejadian tanpa membuat laporan.
Tambah beliau, pihak bomba turut hadir ke lokasi bagi membersihkan tumpahan minyak daripada kenderaan Honda City dengan menabur habuk kayu, namun siasatan mendapati kedua-dua kemalangan tidak berpunca daripada tumpahan minyak.
Jelasnya, kes disiasat di bawah Rule 10 LN 166/59 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Kamal Rajeli di talian 019-3148482. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














