KOTA BHARU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan mengeluarkan notis kepada peniaga yang mengenakan caj RM30 untuk membaiki kalkulator saintifik pelajar sekolah sehingga video kejadian itu tular di media sosial.
Timbalan Pengarah KPDN Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, notis itu dikeluarkan semalam bagi mengesahkan maklumat berhubung perkhidmatan yang ditawarkan.
“Peniaga dikehendaki mengemukakan maklumat berhubung kos pembaikan dalam masa empat hari bekerja. Sebarang cubaan mengambil kesempatan akan dikenakan tindakan tegas demi melindungi kepentingan pengguna.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.
Menurut beliau, KPDN Kelantan akan terus menjalankan pemeriksaan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada unsur pencatutan atau manipulasi terhadap pengguna.
Sebelum ini, tular satu video yang dimuat naik pekerja sebuah kedai membaiki telefon yang mengenakan caj RM30 untuk membaiki kalkulator milik pelajar sekolah.
Menerusi video itu, remaja tersebut bersama ibunya datang ke premis berkenaan untuk membaiki kalkulator saintifik yang tidak boleh dihidupkan selepas terjatuh ke dalam air.
Pekerja itu membuka peralatan tersebut dan mengeringkan bahagian dalam kalkulator sebelum menukar bateri yang diambil daripada alat kawalan jauh dipercayai televisyen di dalam premis tersebut.
Teknik yang dilakukan pekerja itu berjaya menghidupkan semula kalkulator tersebut. Satu video penjelasan dimuat naik pekerja itu yang mendakwa caj RM30 tersebut dipersetujui oleh wanita terbabit.
Lelaki itu turut mendakwa bateri yang diambil daripada alat kawalan jauh juga adalah bateri baharu. – KOSMO! ONLINE














