MUAR – Seorang penjawat awam ‘terduduk’ selepas kerugian RM273,600 ditipu melalui phone scam yang menyamar sebagai kakitangan insurans dan pegawai polis baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar telah menerima satu laporan polis semalam kira-kira pukul 12.31 tengah hari mengenai kejadian.
“Mangsa merupakan lelaki tempatan berumur 48 tahun bekerja sebagai Penolong Pesuruhjaya Bangunan sebuah majlis perbandaran telah menerima panggilan pada 24 Disember 2025 lebih kurang pukul 10 pagi daripada individu menyamar sebagai kakitangan insurans sebelum disambungkan kepada “pegawai polis” dan “timbalan pendakwa raya”.
“Mangsa telah diarahkan membuat pinjaman peribadi dengan pihak bank, menyerahkan maklumat perbankan serta membuat beberapa transaksi kononnya bagi tujuan siasatan dan jaminan kes.
“Transaksi pertama dibuat pada 5 Januari 2026 sebanyak RM45,000 dan seterusnya beberapa transaksi lain termasuk pinjaman pada 30 Januari 2026 dengan keseluruhan transaksi berlaku secara berperingkat sehingga April 2026,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Raiz Mukhliz, mangsa hanya menyedari ditipu selepas mendapati wang dalam akaun berkurangan melibatkan jumlah keseluruhan kerugian sebanyak RM273,600. Wang mangsa adalah hasil wang simpanan sendiri dan juga pinjaman bank.
Kes disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dimana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebatan dan juga dikenakan denda.-KOSMO! ONLINE














