KLANG – Seorang pemuda berputih mata apabila kira-kira RM400 wang gajinya lesap selepas beg silang miliknya dilarikan pencuri di Batu 7, Jalan Meru Tambahan, di sini, semalam.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.30 pagi ketika mangsa berusia 24 tahun meletakkan beg tersebut di atas kotak simpanan peralatan pertukangan sebelum masuk ke bahagian dapur premis berkenaan.
Selang kira-kira 30 minit kemudian, mangsa mendapati beg berkenaan hilang sebelum membuat laporan polis pada pukul 6.39 petang hari sama.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, semakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati suspek memakai topi keledar dilihat berlegar-legar dalam keadaan mencurigakan di sekitar premis.
“Suspek kemudian bertindak pantas melarikan beg silang tersebut ke arah jalan besar tanpa disedari mangsa,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat kes, Sarjan Khellykuzaman Mohd. Nasir di talian 017-2863177 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Terdahulu, dua rakaman CCTV tular di aplikasi Threads memaparkan aksi suspek memasuki serta meninjau persekitaran sebuah premis sebelum bertindak selamba melarikan beg silang berkenaan. – KOSMO! ONLINE














