SUASANA persis zaman Laluan Sutera yang sibuk dengan aktiviti perdagangan antara tamadun dunia begitu meriah dan penuh warna, seolah-olah membawa para pengunjung kembali ke era kegemilangan perdagangan dunia.
Setiap sudut sekolah dipenuhi gerai yang dihias secara kreatif, memaparkan budaya dan barangan dari pelbagai negara yang pernah menjadi sebahagian rangkaian perdagangan global suatu ketika dahulu.
Pameran ini semakin hidup dengan bunyi perbualan serta penerangan para pelajar yang berinteraksi dengan pengunjung, menjadikan suasana seperti sebuah pasar antarabangsa yang sebenar.
Di tengah-tengah suasana tersebut, Sophia Batrisya Saiful Bahri berdiri dengan penuh yakin sebagai pengurus gerai yang mewakili tamadun Yunani atau Greece.
Pelajar berusia 14 tahun itu berkongsi maklumat tentang peranan Greece sebagai pusat perdagangan yang menghubungkan Timur dan Barat serta pengaruh budaya Greek dalam seni dan ilmu pengetahuan.
“Kami mempamerkan barangan seperti pasu yang mempunyai pelbagai corak berasaskan kombinasi warna biru dan putih yang sinonim dengan identiti visual Greece.
“Melalui aktiviti ini, saya belajar bahawa perdagangan di Laluan Sutera bukan sahaja melibatkan pertukaran barangan, tetapi juga idea, budaya dan teknologi.
“Pedagang dari pelbagai kawasan berinteraksi dan membina hubungan untuk memastikan perdagangan berjalan lancar,” katanya kepada K-Remaja.
Sophia Batrisya merupakan salah seorang peserta dalam pameran berskala besar bertajuk Silk Road Secrets: Trade, Trails and Treasures anjuran IDRISSI International School yang telah berlangsung di Bukit Jelutong, Shah Alam baru-baru ini.
Pameran itu turut mendapat liputan luas media yang mengagumi bagaimana murid-murid sekolah ini cuba menghidupkan suasana perdagangan di Laluan Sutera.
Pameran berlangsung selama kira-kira lima jam itu turut mendapat sokongan padu daripada beberapa kedutaan, termasuk Afghanistan, Uzbekistan dan Turkiye.
Sepanjang acara itu, kampus sekolah telah bertukar menjadi sebuah pasar interaktif yang meriah dengan 17 buah gerai bertemakan tamadun Laluan Sutera.
Para pengunjung dibawa mengembara merentasi pelbagai wilayah peradaban dunia, bermula dari China, India serta rantau Asia Tengah seperti Uzbekistan, Kazakhstan, Turkmenistan, Afghanistan dan Tajikistan.
Perjalanan diteruskan ke rantau Asia Barat yang merangkumi Yemen, Iraq dan Arab Saudi, sebelum bergerak ke negara-negara seperti Nepal, Pakistan, Mongolia dan Turkiye.
Akhirnya, pengalaman tersebut berakhir di benua Eropah, termasuk Greece, Itali dan Sepanyol atau Andalusia.
Setiap gerai bukan sekadar ruang pameran, malah merupakan satu pengalaman menyeluruh yang menggabungkan unsur sejarah, budaya dan keusahawanan secara interaktif dan bermakna.
Pameran turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan budaya seperti Mongolia dan India, selain aktiviti memanah tradisional Turkiye yang menekankan disiplin dan kesabaran.
Aktiviti ini turut mendapat sokongan pihak Kedutaan Turkiye dan dikendalikan oleh jurulatih bertauliah dari Yunus Emre Institute sekali gus menambah nilai kepada pengalaman pembelajaran pelajar.
Salah seorang pelajar yang terlibat dalam persembahan memanah tersebut, Ryan Mikhael Abdul Shukur meluahkan rasa gembira kerana diberi peluang melakukan demonstrasi di hadapan tetamu kehormat.

Jelas pelajar berusia 15 tahun itu, kemahiran memanah bukan sahaja digunakan untuk memburu haiwan sebagai sumber makanan, malah turut berperanan dalam pertahanan diri.
“Memanah merupakan antara senjata utama yang digunakan oleh para pedagang, khususnya di wilayah Turkiye.
“Ia berfungsi sebagai alat pertahanan bagi melindungi hasil dagangan daripada ancaman penyamun,” katanya.
Untuk pengetahuan, IDRISSI International School merupakan sebuah institusi pendidikan swasta unik yang mempunyai dua kampus di Selangor iaitu di Bukit Jelutong dan Setia Alam, Shah Alam.
Sekolah tersebut menekankan pendidikan berteraskan nilai Islam yang digabungkan dengan kurikulum antarabangsa moden.
Ia ditubuhkan dengan matlamat untuk melahirkan pelajar yang seimbang dari segi akademik, sahsiah dan spiritual, di samping memberi penekanan kepada pembinaan karakter, kepimpinan serta pemikiran kritis dalam kalangan pelajar.
Dari segi kurikulum, IDRISSI International School menggabungkan elemen pendidikan antarabangsa dengan nilai-nilai Islam.
Ini termasuk penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama pengajaran, di samping pengukuhan subjek agama seperti al-Quran dan Pendidikan Islam.
Selain akademik, sekolah ini juga aktif dalam aktiviti kokurikulum seperti sukan, seni dan program pembangunan diri bagi memastikan pelajar mendapat pengalaman pembelajaran yang holistik.
Sekolah ini juga menggunakan sistem Cambridge International, di mana pelajar menduduki peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) yang setaraf Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Sehubungan itu, pameran tersebut merupakan satu usaha yang sejajar dengan matlamat sekolah melalui pendekatan berasaskan experiential learning atau pembelajaran berasaskan pengalaman dan project-based learning atau pembelajaran berasaskan projek.
Mereka turut memanfaatkan teknologi untuk menghasilkan video, berbincang bersama rakan serta membuat keputusan secara kendiri, sekali gus menjadikan proses pembelajaran lebih hidup dan bermakna.
Lebih membanggakan, hampir 80 peratus bahan yang digunakan dalam pameran dihasilkan daripada bahan kitar semula, mencerminkan kesedaran terhadap kelestarian.
Pengetua sekolah, Nuramalina Sapawi, menegaskan pendidikan masa kini perlu melangkaui kaedah hafalan semata-mata bagi melahirkan generasi yang berfikiran kritis serta memiliki keyakinan tinggi.
“Apa yang anda lihat hari ini ialah tahap pemikiran kritis dan keyakinan diri yang biasanya terbentuk pada usia lebih dewasa.
“Mereka bukan sekadar mempelajari Laluan Sutera, tetapi menghidupkan sendiri proses pertukaran ekonomi dan budaya yang membentuk dunia moden,” katanya.
Jelasnya, di IDRISSI, projek ini telah diintegrasikan secara langsung ke dalam kurikulum Sejarah dan FLIP (Literasi Kewangan). Para pelajar bukan sekadar mempelajari
Laluan Sutera, malah mereka menghayatinya secara menyeluruh melalui pengalaman pembelajaran yang bermakna.
“Mereka menjalankan kajian terperinci tentang kepakaran khusus negara yang diberikan kepada mereka bagi memahami laluan perdagangan sejarah, sebelum mengaplikasikan prinsip kewangan untuk mengira kos pengeluaran serta margin keuntungan dengan lebih tepat.
“Para guru pula memperuntukkan waktu khusus di dalam kelas untuk sesi bimbingan, di mana mereka membimbing pelajar dalam mengasah kemahiran insaniah seperti rundingan, kerja berpasukan serta komunikasi silang budaya bagi mencapai matlamat secara kolektif,” katanya.
Mengulas lanjut, Nuramalina berkata keseluruhan proses penganjuran program tersebut mengambil masa selama tiga bulan untuk direalisasikan.
Sepanjang tempoh tersebut, pelbagai aspek telah dilaksanakan secara berperingkat, bermula daripada penyelidikan dan tugasan berkumpulan sehinggalah kepada penghasilan produk serta hiasan gerai pameran yang kreatif dan menarik.
Acara ini merupakan satu usaha kolaboratif yang besar, melibatkan 540 orang pelajar dari kedua-dua kampus sekolah di Bukit Jelutong dan Setia Alam.
Ia juga menjadi satu pengalaman yang benar-benar inklusif, dengan penyertaan merentasi pelbagai peringkat umur, daripada pelajar prasekolah yang paling muda sehinggalah pelajar Tahun 10.
“Transformasi dalam keyakinan diri mereka amat ketara dan mengagumkan. Selain penguasaan pengetahuan akademik, kami dapat menyaksikan para pelajar melangkah keluar dari zon selesa mereka untuk menjadi komunikator yang lebih yakin, meyakinkan serta usahawan muda yang bijak dan berdaya saing.
“Pada masa yang sama, kami juga melihat mereka pulang dengan pemahaman yang lebih kukuh dan praktikal tentang mekanisme dunia sebenar dalam aktiviti jual beli,” katanya.
















