fbpx
PENDIDIKAN mampu mengubah nasib nasib serta kehidupan seseorang. - Gambar hiasan

Pentingnya sokongan ibu bapa dalam pendidikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Oleh Dr. Viji Ramamuruthy

PERTUBUHAN Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) memperjuangkan prinsip bahawa tiada seorang kanak-kanak yang harus tercicir.

Setiap kanak-kanak berhak mendapat akses kepada pendidikan berkualiti tanpa mengira jantina dan keadaan.

Sempena sambutan Hari Pendidikan Antarabangsa pada Januari lalu serta perbincangan berterusan mengenai kesaksamaan pendidikan, kisah saya menjadi bukti tentang betapa besarnya impak sokongan ibu bapa dalam pendidikan.

Suatu ketika dahulu, kedua-dua ibu bapa saya bekerja keras tanpa mengenal lelah untuk menyara kehidupan.

Walaupun kami berdepan kesukaran harian, namun mereka sentiasa menekankan kepentingan pendidikan dan percaya bahawa pendidikan mampu mengubah nasib serta kehidupan seseorang.

Mereka memastikan semua anak mereka mendapat pendidikan asas dan celik huruf tanpa mengira jantina. Mereka juga aktif dalam persekolahan kami dengan menghadiri mesyuarat ibu bapa dan guru, hari pengambilan kad laporan, hari sukan serta pelbagai program lain.

Dorongan mereka membantu kami mengharungi kejayaan dan kegagalan sambil menggalakkan kami mengejar minat masing-masing.

Kakak-kakak saya meneroka peluang sehingga mampu hidup berdikari, adik perempuan saya kini bekerja di jabatan sumber manusia di sebuah syarikat multinasional.

Sementara saya sendiri sebagai seorang pendidik di Malaysia mengajar pelajar tempatan dan antarabangsa, khususnya menggalakkan wanita untuk melanjutkan pelajaran, walaupun berdepan kekangan masyarakat. Perjalanan kami membuktikan bahawa pendidikan mampu memutuskan kitaran kemiskinan.

Kisah ringkas ini menonjolkan betapa penglibatan ibu bapa memainkan peranan penting dalam pendidikan anak-anak.

Ibu bapa boleh memberikan sokongan kognitif dengan membentuk rutin harian serta melibatkan diri dalam perbincangan tentang perancangan masa depan dan cabaran akademik, sekali gus menyokong perjalanan pendidikan anak secara menyeluruh.

Dengan mengenal pasti corak pembelajaran anak, ibu bapa juga dapat menyediakan sokongan yang bersesuaian serta sumber pendidikan tepat.

Sokongan ibu bapa yang tidak berbelah bahagi menjadi asas kepada pembelajaran sepanjang hayat, daya tahan dan keyakinan diri.

Selain itu, penerapan nilai seperti kerjasama dan empati sejak usia muda amat penting dalam perkembangan anak.

Sebagai contoh, menggalakkan penyertaan dalam aktiviti kelas dan sekolah serta melibatkan diri dalam aktiviti komuniti bersama keluarga memberi kesan yang besar apabila dilakukan bersama.

Sokongan ibu bapa bukan sahaja meningkatkan pencapaian akademik, malah menyumbang kepada kesejahteraan emosi dan sosial, sekali gus memperkasakan anak untuk menghadapi cabaran serta mengejar cita-cita dengan penuh tekad.

Hal ini menjadi semakin penting dalam era kecerdasan buatan, apabila generasi Gen Z dan Gen Alpha membesar dalam dunia yang dipenuhi teknologi digital dan media sosial.

Pandangan mereka terhadap dunia banyak dipengaruhi oleh kandungan yang diakses dalam talian.

Oleh itu, ibu bapa perlu mendidik anak tentang penggunaan teknologi secara selamat dan bertanggungjawab serta memantau aktiviti mereka.

Dalam masa yang sama, penglibatan ini membantu membina komunikasi, rasa hormat dan kefahaman lebih baik antara anak serta orang dewasa.

Selain tidak hanya bergantung kepada sekolah dan guru, ibu bapa juga boleh merancang aktiviti luar menarik seperti lawatan ke tempat pendidikan dan bersejarah serta melibatkan anak dalam pengalaman berkaitan alam seperti mendaki, berkhemah dan berkebun.

Mereka juga boleh menggalakkan hobi tanpa peranti seperti membaca, bermain blok binaan atau memasak.

Ibu bapa perlu sentiasa berkomunikasi dengan anak tentang minat dan pengalaman harian mereka sambil memastikan disiplin diterapkan dengan jelas dan penuh tujuan.

Menyedari peranan penting ibu bapa, kerajaan telah memperkenalkan Rang Undang-Undang Pindaan Pendidikan 2025 melalui Kementerian Pendidikan yang meletakkan tanggungjawab undang-undang kepada ibu bapa untuk memastikan anak warganegara Malaysia tanpa mengira jantina, didaftarkan dan hadir ke sekolah.

Perundangan ini menegaskan bahawa sokongan ibu bapa merupakan asas penting dalam membentuk masa depan yang lebih cerah untuk semua anak.

Kita perlu mengiktiraf bahawa penglibatan ibu bapa dalam pendidikan bukan sahaja mampu mengubah kehidupan individu, malah meningkatkan kesejahteraan komuniti secara keseluruhan.

Perjalanan hidup saya sendiri menjadi contoh. Hari ini, saya telah mengajar, membimbing dan menjadi mentor kepada ramai pelajar prasiswazah; ada yang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, manakala ada juga telah memulakan perniagaan kecil.

Pendidikan mencetuskan kesan berantai. Apa yang ibu bapa saya lakukan untuk saya, kini saya dapat teruskan kepada orang lain.

Bayangkan sejauh mana impak ini boleh berkembang jika setiap ibu bapa terlibat dalam pendidikan anak-anak mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN