JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri mengumumkan pemberian Bantuan Kasih Johor berjumlah lebih RM1.1 juta kepada kira-kira 3,800 jemaah yang akan menunaikan ibadah Haji pada tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, bantuan secara sekali beri (one-off) sebanyak RM300 itu sebagai inisiatif baharu bagi meringankan beban ketika menunaikan ibadah tersebut.
Menurutnya, bantuan kewangan itu merupakan tanda penghargaan kerajaan negeri yang pertama kali diberikan.
“Setiap jemaah haji dari Johor yang menunaikan ibadah haji tahun ini akan menerima RM300 sebagai tanda kasih dan penghargaan kerajaan negeri.
“Ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk berkongsi hasil kemakmuran Johor kepada rakyat di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam pertemuan bersama bakal jemaah haji di Menara MBJB, di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, seramai 500 bakal haji Rombongan Kerajaan Johor diraikan yang akan mula berangkat ke tanah suci Mekah pada 7 Mei depan.
Kesemua mereka turut menerima sumbangan Yayasan Sultan Ibrahim Johor berupa pek makanan dan minuman.
Onn Hafiz berkata, Johor telah menghantar rombongan haji tajaan negeri sejak 1952, iaitu lebih awal sebelum penubuhan Lembaga Tabung Haji pada 1963.
Katanya, Johor secara konsisten memperoleh kuota khas seramai 500 jemaah setiap tahun hasil kerjasama dengan Tabung Haji dan kerajaan Persekutuan dengan kos penerbangan ditanggung sepenuhnya.
“Anda semua merupakan insan yang terpilih daripada jutaan umat Islam di negara ini. Justeru, anda perlu mensyukuri peluang ini, hanya yang terpilih sahaja menerima panggilan Ilahi ini,” katanya.
Beliau turut menyeru jemaah terlibat untuk memanfaatkan masa di tanah suci dengan berdoa bukan sahaja untuk diri dan keluarga, tetapi juga untuk kesejahteraan negeri ini.-KOSMO! ONLINE














