KUALA LUMPUR – Kes saman fitnah yang difailkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek terhadap Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail berhubung isu larangan takbir dan bacaan qunut nazilah pada penganjuran Minggu Solidariti Palestin di sekolah, akhirnya diselesaikan secara baik di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Ia berikutan apabila Zulkifli membuat permohonan maaf secara terbuka yang mana hari ini merupakan hari pertama perbicaraan kes saman itu.
Hakim Hilmiah Yusof kemudian merekodkan penghakiman persetujuan dengan terma-terma penyelesaian oleh kedua-dua pihak.
Zulkifli selaku defendan pertama memohon maaf kepada Fadhlina selaku plaintif sebagai sebahagian daripada terma penyelesaian saman sivil tersebut.
Selain Zulkifli turut dinamakan defendan ialah
bekas Ketua Pengarang Harakah, Mazlan Jusoh serta defendan ketiga, Galeri Media Serbanika Sdn. Bhd.
Terdahulu, Zulkifli yang juga Pesuruhjaya Pas Melaka ketika membacakan kenyataannya di mahkamah terbuka berkata,
pihaknya mengaku kenyataan yang dikeluarkan telah mengundang tafsiran yang pelbagai dan salah faham dalam kalangan masyarakat terhadap Fadhlina.
Beliau juga mengaku pihak sekolah sebenarnya dibenarkan untuk membuat laungan takbir dan membaca qunut nazilah ketika Minggu Solidariti Palestin.
“Maka, kami memohon maaf kepada Yang Berhormat, Fadhlina Sidek di atas kenyataan-kenyataan tersebut dan bersetuju membayar kos sebanyak RM15,000 kepada beliau,” katanya yang turut mewakili defendan kedua dan ketiga.
Pada masa sama Zulkifli turut bersetuju untuk menarik balik sepenuhnya, secara mutlak dan tanpa sebarang syarat kenyataan-kenyataan tersebut.
“Kami selanjutnya memberi aku janji kepada mahkamah ini bahawa kami tidak akan pada bila-bila masa selepas ini mengulangi, menerbitkan semula, menyebarkan atau mengulas kenyataan-kenyataan tersebut atau apa-apa kenyataan yang sama maksudnya, sama ada secara lisan, bertulis, melalui media sosial, media cetak, media elektronik atau dalam apa jua bentuk sekalipun.
“Kami juga akan mengambil segala langkah yang munasabah dan perlu bagi memastikan semua kenyataan-kenyataan tersebut diturunkan, dipadam dan tidak lagi disebarkan oleh mana-mana pihak di bawah kawalan kami,” katanya.
Semasa prosiding, peguam, Mohamed Ibrahim Mohamad dan Nor Aziah Haron mewakili plaintif manakala peguam, Yusfarizal Yusoff dan Mohd Faizi Che Abu mewakili defendan pertama serta peguam, Muhammad Darwisy Roslan dan Afifah Abdul Latiff mewakili defendan kedua dan ketiga.
Sebelum ini media melaporkan Fadhlina telah mengemukakan surat tuntutan (LOD) kepada Zulkifli serta portal Harakahdaily berhubung dakwaan kononnya takbir dan bacaan doa qunut nazilah tidak dibenarkan ketika penganjuran Minggu Solidariti Palestin di sekolah seluruh negara.
Fadhlina berkata, tindakan saman fitnah terhadap kedua-dua pihak itu bertujuan membersihkan namanya daripada tuduhan yang disifatkan tidak berasas dan tidak wajar.
Kenyataan tersebut telah dibuat oleh Zulkifli semasa program ‘Solidarity for Palestine’ pada 5 November 2023, dan kemudiannya telah diterbitkan semula oleh bekas Ketua Pengarang Harakah, Mazlan Jusoh serta Galeri Media Serbanika Sdn. Bhd. melalui portal Harakahdaily dan akhbar Harakah bertarikh 6 November 2023. – KOSMO! ONLINE














