KUALA LUMPUR – Malaysia terus mencatat perkembangan positif apabila dana global membeli lebih AS$2 bilion (kira-kira RM9.5 bilion) bon tempatan dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, jumlah tersebut merupakan aliran masuk tertinggi dalam tempoh 10 bulan.
Menurut beliau, perkembangan itu berlaku ketika keadaan geopolitik dunia semakin mencabar, termasuk perang di Asia Barat yang memberi kesan besar kepada pasaran global serta menaikkan harga tenaga menyebabkan modal keluar dari beberapa pasaran.
“Namun dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dana global telah membeli lebih dua bilion dolar bon Malaysia.
“Ringgit juga merupakan mata wang berprestasi terbaik di Asia selama dua tahun berturut-turut, manakala ekonomi negara berkembang 5.2 peratus tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.
Pada masa sama, Anwar berkata, Malaysia turut menarik pelaburan pada tahap tinggi dalam sektor pembuatan, semikonduktor dan aeroangkasa.
“Semua ini bukan datang dengan mudah. Kita memang konsisten buat pembaharuan dasar dan usaha ini akan teruskan, dengan disiplin.
“Mereka melihat kerajaan yang menunaikan janji dan ekonomi kekal kukuh walaupun keadaan global mencabar, serta keupayaan negara menghasilkan produk yang benar-benar diperlukan dunia,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














