KOTA TINGGI – Suasana di sebuah restoran di Kota Jaya di sini, gempar apabila dua lelaki dan seorang wanita mati ditembak warga emas dengan menggunakan senapang patah semalam.
Dalam kejadian pada pukul 1.40 tengah hari itu, mangsa lelaki berusia 61 dan 63 tahun serta wanita warga asing berusia 37 tahun disahkan maut di lokasi akibat cedera parah.
Serangan berdarah itu dipercayai disaksikan isteri salah seorang mangsa.
Setakat ini, motif sebenar kejadian masih dalam siasatan, namun pihak polis tidak menolak hutang sebagai punca serangan tersebut.
Susulan itu, polis memberkas seorang lelaki berusia 71 tahun kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian pada pukul 2 petang.
Warga emas itu dipercayai ditangkap anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi ketika cuba melarikan diri dari lokasi kejadian.
Pihak berkuasa turut merampas senjata api yang dipercayai digunakan suspek untuk menembak ketiga-tiga mangsa.
Setakat pukul 5 petang semalam, pegawai forensik masih berada di lokasi kejadian untuk melakukan siasatan termasuk mencari bahan bukti berkaitan.
Semakan mendapati ketiga-tiga mangsa dan suspek tinggal di daerah ini. Semakan mendapati suspek memiliki lesen api.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad mengesahkan kejadian tembakan tersebut.














