PETALING JAYA – Kepulangan Khairy Jamaluddin Abu Bakar ke dalam UMNO disambut dengan rasa syukur oleh kepimpinan akar umbi, khususnya di Bahagian Sungai Buloh.
Ketua UMNO Bahagian Sungai Buloh, Datuk Megat Firdouz Megat Junid berkata, pihaknya amat mengalu-alukan kepulangan bekas Ketua Pemuda UMNO yang disifatkan sebagai satu langkah positif buat parti.
“Kami bersyukur saudara Khairy dah kembali ke Sungai Buloh. Terima kasih kerana kembali semula bersama kami,” katanya.
Sementara itu, Khairy berkata, beliau menerima keputusan diterima semula sebagai ahli UMNO dengan penuh rasa rendah diri dan kesyukuran.
“Hari ini hari pertama saya sejak diterima semula menjadi ahli UMNO. Sudah pasti saya berada di bahagian saya iaitu Sungai Buloh dan meluangkan masa sehari suntuk di sini.
“Di sebelah saya ini Ketua UMNO Bahagian Sungai Buloh, ini bos saya. Terima kasih kerana boleh terima saya kembali,” katanya.
Menurutnya, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pucuk pimpinan parti termasuk Presiden dan Majlis Tertinggi yang memberi peluang untuk kembali.
Semalam, media melaporkan Khairy bersama Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein antara 6,252 bekas pimpinan serta ahli pelbagai peringkat yang diterima kembali menyertai UMNO.
Perkara itu disahkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang memaklumkan keputusan tersebut dibuat dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti.
Untuk rekod, Khairy sebelum ini dipecat daripada UMNO pada Januari 2023 atas pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan UMNO ketika Pilihan Raya Umum ke-15. – KOSMO! ONLINE














