PETALING JAYA – Seorang lelaki warga emas dipercayai hilang ingatan ditemui dalam keadaan kebingungan di Seri Manjung, Perak.
Perkara itu tular di media sosial selepas pengguna Facebook, Mohd Fauzie memuat naik hantaran meminta bantuan orang ramai bagi mengenal pasti identiti lelaki itu yang dikenali sebagai Abu Bakar Ibrahim, 78.
Katanya, warga emas itu tidak dapat mengingati alamat rumahnya dan hanya memaklumkan dia menunggang motosikal, namun kenderaan tersebut tidak dapat dikesan.
Melihat alamat yang tertera pada kad pengenalannya, warga emas itu menetap di Taman Pegoh, Jalan Lahat, Ipoh.
“Assalamualaikum. Bantuan khidmat masyarakat. Kepada sesiapa yang mengenali pak cik di dalam gambar ini, mohon hubungi BP (Balai Polis) Seri Manjung. Pak cik ini tak ingat rumah dan katanya naik motor, tapi tidak dapat dikesan,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung di talian 05-68992222 bagi membantu mengesan keluarga warga emas tersebut.
Hantaran itu turut mendapat perhatian netizen dengan rata-rata mereka berkongsi semula maklumat warga emas tersebut dengan harapan dapat segera disatukan dengan ahli keluarganya.
“Semoga pak cik dipermudahkan urusan dan keluarganya menemuinya kembali,” kata Mohd Rosli.
“Banyak kes begini dah berlaku, bawa (menunggang) motor (motosikal) lupa jalan balik,” komen Mohd Zaini. – KOSMO! ONLINE














