fbpx
Noraini.

Proses adunan biodiesel B15 dipercepat, dijamin tiada kos tambahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) mengambil langkah strategik meningkatkan kadar adunan biodiesel daripada B10 kepada B15 secara beransur-ansur bagi sektor pengangkutan sebagai usaha memperkukuh sekuriti tenaga negara.

Menterinya, Noraini Ahmad dalam satu kenyataan memaklumkan, pelaksanaan itu akan dimulakan dengan adunan B12 tanpa melibatkan sebarang kos tambahan serta hanya menggunakan infrastruktur sedia ada.

Langkah tersebut dibuat susulan keputusan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada 14 April lalu yang melihat keperluan memperkasakan penggunaan tenaga alternatif dalam menghadapi ketidaktentuan global.

Menurut kenyataan itu, Malaysia mempunyai kelebihan sebagai antara pengeluar minyak sawit terbesar dunia yang boleh dimanfaatkan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil import.

“Pendekatan ini bukan sahaja mampu memanjangkan daya tahan bekalan bahan api negara dalam tempoh krisis, malah menjamin kelangsungan sekuriti tenaga Malaysia,” katanya.

Program Biodiesel Negara telah dilaksanakan secara berperingkat bermula dengan B5 pada 2011, diikuti B7 pada 2014 dan B10 pada 2019 sebelum diperluas kepada B20 sejak 2020 di beberapa kawasan termasuk Langkawi, Labuan dan Sarawak.

Dalam pada itu, peningkatan kepada B15 juga dijangka dapat merangsang produktiviti pengeluar biodiesel tempatan yang sebelum ini beroperasi di bawah kapasiti sebenar.

Malaysia ketika ini merekodkan pengeluaran minyak sawit mentah sekitar 18 hingga 20 juta tan setahun, dengan hanya kira-kira 0.80 juta tan diperlukan bagi pelaksanaan B15, sekali gus tidak menjejaskan bekalan domestik.

KPK turut menegaskan biodiesel Malaysia mematuhi piawaian antarabangsa dan selamat digunakan tanpa menjejaskan prestasi enjin.

“Inisiatif ini bukan sahaja menyokong kestabilan industri sawit tempatan, malah menjadi pemangkin kepada daya tahan ekonomi negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN