GEORGE TOWN – Sebuah stesen minyak di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Juru arah Utara di sini disiasat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang selepas dipercayai enggan menjual diesel.
Pengarah KPDN Pulau Pinang, S. Jegan berkata, tindakan itu diambil selepas lima pegawai penguat kuasa digerakkan ke lokasi pada pukul 8 malam tadi susulan video tular memaparkan seorang pemandu lori naik darah kerana tidak dapat mengisi bahan api tersebut.
Menurutnya, pemeriksaan dan semakan terhadap dokumen serta rekod berkaitan mendapati stok diesel di stesen tersebut masih ada.
“Walau bagaimanapun, semakan lanjut mendapati pembekalan stok diesel B10 daripada depoh ke stesen ini berkurangan 50 peratus sejak Isnin (13 April).
“Atas sebab itu, pihak pengurusan stesen lebih mengutamakan penjualan kepada pelanggan tetap sahaja, manakala selainl pelanggan tetap, dihadkan pembelian hanya 20 liter,” katanya di sini, malam tadi.
Beliau memberitahu, berikutan keengganan menjual bahan api tersebut, satu tindakan diambil terhadap pengurusan stesen minyak tersebut dengan siasatan di bawah Seksyen 16A(1)(b) Akta Kawalan Bekalan 1961, iaitu keengganan menjual barang kawalan.
“KPDN Pulau Pinang akan terus mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan undang-undang selain melindungi hak pengguna daripada sebarang penyelewengan di pasaran,” tambahnya.-KOSMO! ONLINE













