PETALING JAYA – “Andai ada belas ihsan seorang anak untuk lelaki tua yang bergelar bapa ini, hadirlah dihadapannya, capailah tangannya, peluklah tubuhnya. Sayangilah dia selayaknya seorang ayah.”
Itu pesanan Ketua Aktivis dan Pengasas Pertubuhan Jejak Jalanan, Mohamad Azhan Mohamed Adnan atau Abbe Hae, kepada semua waris Pak Yunus, 70.
Pak Yunus merupakan seorang gelandangan yang diselamatkan, hari ini selepas hampir dua minggu menjadi ‘penghuni’ di sebuah perhentian bas dipercayai di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur.
Misi menyelamat itu dilakukan oleh Abbe Hae bersama pasukan dan dibantu oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Pak Yunus dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan dan seterusnya diuruskan masuk ke pusat penjagaan swasta.
“Sebahagian (perbelanjaan) rumah orang tua swasta akan ditanggung MAIWP dan sebahagian lagi oleh JKM,” katanya.
Menerusi video yang dikongsikan oleh Abbe Hae pada hantaran sama di media sosial, beliau memaklumkan berdasarkan siasatan awal, Pak Yunus dipercayai mempunyai lima orang anak dan pernah menjadi penerima bantuan MAIWP.
Bagaimanapun apabila ditanya tentang anak oleh Abbe Hae, Pak Yunus hanya mampu mengalirkan air mata.
“Selepas siasatan Abbe jalankan, Pak Yunus sebelum ini (merupakan) penerima bantuan daripada MAIWP sejak 2011.
“Bantuan itu terhenti pada 2019 selepas Pak Yunus berpindah ke negeri Selangor. Alamat terakhir Pak Yunus adalah di Ulu Klang, Selangor.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, Pak Yunus akhirnya diselamatkan selepas hampir dua minggu menjadi ‘penghuni’ di sebuah perhentian bas di ibu negara.
Menerusi perkongsian Abbe Hae di media sosial semalam, memaparkan video warga emas tersebut sedang terbaring lesu dan tidak menjawab sebarang pertanyaan daripadanya serta beberapa individu lain. – KOSMO! ONLINE














